
Baru-baru ini, telah bocor mengenai kisah disebalik pembatalan filem Wonder Woman 3, dimana James Gunn telah membatalkan filem itu sebaik sahaja mengambil-alih pemerintahan DC Studios bersama Peter Safran.
Alasannya, kerana filem tersebut tidak menepati visi mereka. Pembatalan tersebut secara tidak langsung turut menyingkirkan pengarah Patty Jenkins dari DC, dan yang paling utama, bintang Wonder Woman, Gal Gadot.
Dalam senarai filem dan siri tv ‘Chapter 1: Gods and Monsters’ yang didedahkan Gunn beberapa bulan yang lalu, satu siri yang berlatarkan Themyscira sedang dalam perancangan, dan sudah tentu, ia akan berlatarkan beberapa ratus tahun sebelum kelahiran Diana Prince aka Wonder Woman.
Dengan dua pertiga daripada ahli Trinity telah digantikan, terdapat kemungkinan Gadot tidak akan terus memainkan watak Wonder Woman, lebih-lebih lagi usianya yang kini sudah mencecah 38 tahun.
Gunn menegaskan sebelum ini, dia ingin mencari pelakon yang lebih muda, dan watak Clark Kent dan Bruce Wayne akan dilakonkan oleh pelakon-pelakon muda. Jadi, disebabkan perbezaan umur yang ketara, agak sukar untuk Gadot menyertai mereka.
Bagaimanapun, ketika bercakap kepada Entertainment Tonight, Gadot kelihatan sedikit optimis mengenai peluang untuk kembali sebagai Wonder Woman.
“Sesuatu sedang diusahakan di belakang tabir,” katanya kepada laman web itu, “dan sebaik sahaja masa yang sesuai tiba, anda akan tahu mengenainya.”
Sama ada jawapan Gadot itu adalah perkembangan yang menjanjikan, atau cubaan bijak untuk mengalihkan soalan, tetapi, apa yang pasti, dia memberi sedikit harapan baru mengenai masa depannya sebagai pahlawan Amazon.
Gal Gadot tidak sempat mengucapkan selamat tinggal kepada wataknya selepas filem ketiga Wonder Woman dibatalkan terus dari perancangan.
Namun penampilan cameo yang mencuri perhatian dalam Shazam! Fury of the Gods, dan The Flash sekurang-kurangnya boleh dianggap sebagai ucapan selamat tinggal kepada wataknya itu.