Kakimuvee – Portal Informasi Perfileman
Review

Review Filem: Sleep (2023)


AMARAN SPOILER!!!

Mengigau, mengetip gigi, bercakap dan lebih teruk, berjalan sewaktu tidur adalah antara simptom-simptom yang dialami oleh segelintir individu. Sama ada simptom itu biasa atau teruk, masalah tidur mesti dirawat agar ia tidak memberi kesan kepada kehidupan seharian seperti mana yang berlaku pada pasangan suami isteri dalam filem terbaru Korea Sleep

Sleep adalah filem komedi gelap misteri seram Korea yang boleh dikatakan agak ringkas, tetapi berjaya menyampaikan keseraman dan ketegangan kepada penonton. Ia mengisahkan pasangan suami isteri Hyeon-soo dan Soo-jin yang mengalami igauan buruk dalam kehidupan mereka apabila si suami mengalami masalah tidur yang mengancam keselamatan mereka. 

Pada awalnya, mereka menyangka masalah tidur yang dihadapi oleh sang suami adalah masa biasa yang sering belaku kepada individu yang mengalami tekanan di tempat kerja. Namun segala mula berubah apabila anjing peliharan mereka dijumpai mati dalam peti sejuk. 

Dari tindakan cuba terjun dari bangunan hinggalah penemuan bangkai anjing dalam peti sejuk, Soo-jin mula merasa bimbang akan keselamatan mereka, terutamanya bayi mereka yang bakal dilahirkan. Pekara itu diburukan lagi dengan carian Soo-jin di laman web dimana dia membaca kes-kes pembunuhan yang melibatkan masalah tidur. 


Mereka cuba mencari penyelesaian dengan mendapatkan rawatan doktor. Namun, usaha tidak membuahkan hasil, sebaliknya tingkah laku sang suami semakin menakutkan, lebih-lebih lagi selepas Soo-jin melahirkan anak. Ibu mertua Soo-jin mensyaki bahawa hantu telah mengganggu kehidupan mereka dengan merasuk Hyeon-soo.

Pada awalnya Soo-jin tidak mempercayai kepercayaan khurafat ibu mertuanya, sehinggalah seorang bomoh datang dan memberi amaran tentang hantu yang sedang bertengek atas badan suaminya. Hari berganti hari, minggu berganti minggu, situasi mereka masih tidak berubah, dan Soo-jin semakin mengalami tekanan jiwa kerana bimbang suaminya akan mengapa-apakan bayi mereka sewaktu sedang tidur. 

Pada awalnya, Sleep dianggap satu lagi klise filem yang bertemakan seram. Namun, pengarah Jason Yu menggunakan kreativitinya dalam memberikan sebuah filem yang hebat meskipun kebanyakkan perjalanan filem ini hanya tertumpu pada satu lokasi dengan jalan cerita yang ringkas. 

Hampir keseluruhan perjalanan filem ini hanya tertumpu dalam rumah pasangan suami isteri itu, tetapi penonton dapat merasai kegusaran sang isteri apabila suaminya mula tidur. Penyampaian ceritanya memberikan gangguan psikologi kepada penonton yang turut terikut-ikut dengan ketakutan si isteri yang bimbang suaminya menggila sewaktu sedang tidur. 

Selain daripada melihat kecelaruan pasangan suami isteri ini, ceritanya yang tidak begitu tertumpu pada gangguan makhluk halus turut membuatkan otak penonton berbelah bahagi memikirkan sama ada masalah yang dihadapi oleh sang suami adalah benar disebabkan masalah tidur ataupun diganggu hantu.

Sebagai protégé Bong Joon-ho, gaya pengarahan Jason Yu telah memacu filem ini ke tahap diluar jangkaan penonton – bukan hanya pada plot filem ini, malah bagaimana ia membina nada yang mendebarkan, serta memaksimakan kekuatan cerita seiring dengan fokus latarbelakang filem yang banyak tertumpu dalam kediaman.

Begitu juga lakonan Jung Yu-mi dan Lee Sun-kyun yang berjaya menghidupkan watak mereka sehinggakan setiap perasaan dan tekanan mereka dapat dirasai penonton. 

Anda pastinya akan kekal berada ditempat duduk dan kadang-kala terkejut dengan beberapa kejutan dalam filem ini. Ia tidak banyak ‘jumpscare’ walaupun filem ini bergenre horror, tetapi nadanya akan membangkitkan bulu roma, ketegangan pasti membuatkan anda tidak senang duduk, motivasi pasangan suami isteri ini untuk kekal bersama menghadapi masalah yang mengancam keselamatan mereka pasti membuatkan penonton merasa terharu. 

Setiap bahagian, setiap bab penceritaan sukar untuk dicari cacat-celanya, dan ternyata Sleep antara filem yang hampir sempurna yang pernah ditonton. Jika anda meminati filem bertemakan misteri seram dengan selingan komedi-komedi gelap, filem ini harus anda tonton, dan dijamin anda tidak akan merasa kecewa.

Rating Kakimuvee

5/5


Related posts

K-Drama Jenayah CRUSH Akan Ditayangkan Di Disney+ Hotstar Pada 13 Mei Ini

Kakimuvee

Disney+ Umum Senarai K-Drama Bagi Tahun 2024

Kakimuvee

Kdrama Balas Dendam Terbaru The Impossible Heir Akan Tayang Di Disney+ Hostar Pada Februari Ini

Kakimuvee

Rancangan Realiti Single’s Inferno Akan Kembali Pada 12 Disember Ini

Kakimuvee

Trailer Pertama Sweet Home Musim 2 Telah Didedahkan

Kakimuvee

Netflix Kongsi Klip Terbaru “Castaway Diva” Park Eun Bin

Kakimuvee