Kakimuvee – Portal Informasi Perfileman
Berita

‘The Flash’ Memiliki Tiga ‘Ending’ Yang Berpaksikan Regim WB Yang Berbeza, Dari Walter Hamada Hinggalah James Gunn


AMARAN, PENULISAN INI MENGANDUNGI SPOILER THE FLASH

Filem The Flash yang baru sahaja ditayangkan telah menerima pujian dari beberapa selebriti dan penonton serata dunia. 

Namun, tahukah anda, disebalik pembikinan filem The Flash, terdapat banyak kekacauan sebelum filem itu siap dan akhirnya ditayangkan di pawagam.

Dalam satu pendedahan yang dibuat The Hollywood ReporterThe Flash mengalami beberapa perubahan drastik, khusus bagaimana filem itu patut ditamatkan, hanya disebabkan visi yang berbeza diperingkat atasan. 

Di pengakhiran filem The Flash, ‘twist’ telah berlaku dimana Barry Allen dikejutkan dengan kemunculan Bruce Wayne yang berbeza. Pada awalnya, dia menjangkakan bahawa dia telah memperbaiki jalurmasa, dan segalanya kembali normal. 


Namun, sewaktu di persekitaran mahkamah, dia terkejut apabila melihat Wayne yang berbeza, iaitu yang dilakonkan oleh Clooney, bukan versi Ben Affleck seperti yang dijangkakannya. 

Seperti Barry Allen, penonton juga terkejut dengan kemunculan Clooney, kerana semasa filem itu dalam proses pembangunan dan penggambaran, kita hanya mengentahui tentang Batman yang dilakonkan oleh Micheal Keaton dan Ben Affleck, dan tidak menjangkakan kehadiran Clooney dalam filem tersebut. 

Dalam pendedahan yang dibuat oleh The Hollywood Reporter, pengakhiran yang dilihat penonton di pawagam merupakan pengakhiran ketiga yang dibuat untuk filem itu, dan pengarah Andy Muschietti terpaksa melalui proses itu hanya disebabkan visi yang berbeza dari tiga regim berasingan di Warner Bros. 

The Flash merupakan antara filem yang dirancang oleh Toby Emmerich dan ketua DC Film Walter Hamada. Menurut THR, Hamada mempunyai perancangan yang jelas terhadap The Flash dimana filem itu akan memainkan peranan penting dalam menetapkan semula DC Cinematic Universe, dengan menjauhkan pengaruh francais itu dari filem-filem yang diarahkan oleh Zack Snyder. 

Hamada juga merancang sebuah sekuel untuk The Flash, dan filem yang diinspirasikan dari peristiwa komik terkenal tahun 1980an, Crisis on Infinite Earths. 

The Flash pada awal dirancang akan berakhir di mahkamah dengan kehadiran Supergirl, lakonan Sasha Calle, dan Batman, lakonan Michael Keaton. Pengakhiran tersebut bertujuan memberitahu bahawa Barry gagal menetapkan semula garis masa seperti yang dia fikirkan. Ia adalah pengakhiran yang telah melalui beberapa fasa tayangan ujian. 

Namun, segalanya berubah apabila Discovery mengambil-alih Warner Bros. pada 2022, dengan Emmerich dan Hamada berundur dari syarikat itu. 

David Zaslav pada waktu itu sedang mencari ekskutif untuk mengoperasikan DC Film, dan Michael De Luca dan Pamely Abdy mengambil-alih tugas itu buat sementara. Tanpa disangka, kedua-dua CEO itu turut mempunyai perancangan mereka yang tersendiri. 

Pengakhiran The Flash telah diubah. Versi baharu masih berlatarkan tangga mahkamah, tetapi Supergirl akan disertai Superman, lakonan Henry Cavill dan Wonder Woman, lakonan Gal Gadot. Keaton juga dikekalkan. De Luca dan Abdy percaya ia adalah penamat strategik. 

Henry Cavill kemudiannya membuat kemunculan cameo dalam filem Black Adam, dan diwar-warkan akan kembali dalam filem terbaru Superman. Supergirl juga dikekalkan, walaupun filem standalone-nya telah dibatalkan. Mereka mahu watak itu kembali di masa akan datang, dan tidak mahu penonton melihat Supergirl mati ditangan supervillain (General Zod lakonan Michael Shannon). 

Dalam masa yang sama, pihak studio pada waktu itu sedang membangunkan filem ketiga Wonder Woman dengan pembikin filem, Patty Jenkins dan bintang utama, Gal Gadot disahkan kembali untuk filem seterusnya. 

Penamat versi kedua itu telah dirakam pada September, dan ia turut melibatkan Ezra Miller, Henry Cavill dan Gal Gadot, serta Michael Keaton dan Sasha Calle. 

Proses pasca-produksi The Flash kembali terganggu apabila Zaslav mengumumkan eksekutif DC Studios, iaitu James Gunn dan penerbit Peter Safran pada November 2022. Seperti penjaga sementara DC, De Luca dan Abdy, Gunn dan Safran juga mempunyai rancangan mereka sendiri. 

Memandangkan mereka mahu menetapkan semula DC Universe berdasarkan visi mereka sendiri, Gunn dan Safran melihat bahawa pengakhiran baharu The Flash, yang melibatkan Cavill dan Gadot, berpotensi menyebabkan perancangan mereka tidak dapat dilaksanakan. 

Jadi, tindakan pertama mereka selepas mengambil-alih DC Studios adalah membatalkan perancangan filem terbaru Superman, dan menyingkirkan Patty Jenkins, sekaligus membunuh ansuran ketiga Wonder Woman. 

Melihat visi Gunn dan Safran yang berbeza dari eksekutif sebelumnya, pengarah kemudian mencari alternatif untuk pengakhiran yang baru, tetapi masih mengekalkan idea tentang ‘Barry menjangkakan semula kembali normal, tetapi sebenarnya tidak pada saat akhir.’

Semasa dalam proses merangka pengakhiran baru, mereka dikatakan berjenaka mengenai “Berapa banyak Batman yang kita boleh dapat?” dengan Clooney termasuk dalam perbincangan tersebut. Tanpa disangka, Gunn dan Safran berminat dengan idea tersebut, dan mereka berdua terus menghubungi ejen Clooney bertanya sama ada pelakon itu berminat untuk muncul dalam filem The Flash sebagai Batman. 

Penggambaran telah dibuat dengan pantas di set Warner Bros. pada Januari yang lalu dengan Clooney kembali sebagai Batman dalam tempoh 26 tahun. Miller juga hadir di set tersebut untuk merakamkan adegan bersama Clooney.

Apa yang menariknya, Warner Bros. merahsiakan pengakhiran baru itu, malah pihak studio langsung tidak mengujinya di tayangan ujian. Semasa filem itu ditayangkan di CinemaCon pada April, pengakhirnya berakhir di saat Barry berada di tangga mahkamah, tanpa mendedahkan babak penamat penuh. 

Pengakhiran baru itu hanya dapat dilihat umum pada tayangan media pada 4 Jun yang lalu, dan semasa tayangan perdana pada 12 Jun yang lalu. 


Related posts

Penonton Antarabangsa Beri Pulangan Besar Pada ‘Aquaman 2’

Kakimuvee

Nicolas Cage Dedahkan Sebab Mengapa Filem “Superman Live” Tidak Dapat Dibuat

Kakimuvee

Nicholas Hoult Akan Memainkan Watak Lex Luthor Dalam Filem Superman: Legacy

Kakimuvee

Kutipan Taylor Swift: The Eras Tour Jauh Lebih Baik Dari Semua Filem DC Tahun 2023

Kakimuvee

DCU: Semua Pelakon ‘Justice League’ Tidak Akan Mengulangi Peranan Masing-Masing

Kakimuvee

Trailer Aquaman and the Lost Kingdom Pratonton Filem Terakhir DCEU

Kakimuvee