Kakimuvee – Portal Informasi Perfileman
Review

Review Filem: Scary Stories To Tell In The Dark


Kebiasaannya, filem-filem seram yang diklasifikasikan sebagai PG-13 agak sukar untuk menarik minat penonton dewasa memandangkan keterbatasannya untuk memaparkan adegan-adegan seram yang melampau. Filem-filem sebegini biasanya akan tersangkut pada elemen ‘jumpscare’ dan perlu meminggirkan beberapa aspek yang ‘lebih kejam’ agar ia tidak memberi kesan buruk kepada penonton dibawah umur.

Namun begitu, klasifikasi PG-13 seolah-olah tidak memberi kesan besar kepada pengarah André Øvredal dan penulis Guillermo del Toro dalam merencana filem Scary Stories to Tell in the Dark. Diadaptasikan dari buku seram kanak-kanak berjudul sama karya Alvin Schwartz, pasukan kreatif filem ini berjaya menghasilkan sebuah filem seram yang menarik untuk segenap lapisan umur.

Scary Stories to Tell in the Dark dimulakan dengan penceritaan tiga sahabat baik iaitu Stella (Zoe Colletti), Auggie (Gabriel Rush) dan Chuck (Austin Zajur), yang ingin mengenakan pembuli, Tommy Milner (Austin Abrams) pada malam Halloween. Bagaimanapun, mereka bertiga dikejar Milner dan rakan-rakannya. Ketika bersembunyi, Stella, Auggie dan Chuck telah bertemu Ramón (Michael Garza), seorang pemuda yang baru tiba di pekan kecil Mill Valley, Pennsylvania.

Bosan dengan malam Halloween tanpa aktiviti mencabar, Stella – seorang penulis amatur yang obeses dengan cerita-cerita seram, – telah mengajak rakan-rakannya termasuk Ramón pergi ke sebuah rumah usang milik keluarga Bellows, yang menjadi legenda dikalangan penduduk setempat. Ketika meneroka rumah yang dipercayai berhantu itu, Stella telah menjumpai sebuah buku milik Sarah Bellows. Buku tersebut mengandungi banyak cerita-cerita seram yang menakutkan, namun apa yang Stella tidak ketahui, buku berhantu itu akan menyebabkan seorang demi seorang menjadi watak utama dalam cerita seram yang ditulis oleh Sarah.

Walaupun tersangkut dengan klasifikasi PG-13, Scary Stories to Tell in the Dark tidak menjual adegan-adegan ‘jumpscare’ dalam memberikan ketakutkan kepada penonton. Konsep cerita dalam cerita bagi saya agak menarik kerana ia memberi kepelbagaian plot untuk merasai pengalaman cerita seram yang berbeza-beza. Selain itu juga, suasana filem seram klasik yang diterapkan dalam filem ini memberikan satu perasaan yang berbeza, seolah-olah kita menonton sebuah filem seram yang dihasilkan pada era 80an. Jika anda peminat rancangan Stranger Things atau IT pasti menyukai suasana dan ‘setting’ dalam filem ini.


Selain itu juga, karakter ‘hantu’ dalam filem ini banyak membantu dalam mencipta suasana menakutkan. Bagi saya, ‘monsters’ tidaklah begitu menyeramkan, dari segi rupabentuk, ada yang agak ‘kelakar’ seperti Pale Lady, dan ada juga yang menyeramkan seperti Harold the Scarecrow, tetapi cara rakaman, suasana dan runut bunyi banyak membantu menaikkan bulu roma, lebih-lebih lagi semasa watak-watak dalam filem ini berhadapan dengan raksasa yang lahir dari imaginasi hantu Sarah Bellows.

Dari segi karakter, filem ini dilihat lebih memberi fokus kepada Stella, manakala beberapa watak lain seperti Auggie, Chuck dan Ramon hanya digunakan sebagai sokongan untuk mengembangkan karakter Stella. Mujur lakonan Zoe Colletti sebagai Stella boleh dikatakan memuaskan, jika tidak pasti ia akan mengundang masalah kerana filem ini hanya bergantung harap kepada satu karakter sahaja untuk mengerakkan plot filem.

Secara keseluruhannya, Scary Stories to Tell in the Dark masih mampu memberikan sebuah filem seram yang baik disebalik klasifikasi PG-13. Walaupun cara penyampaian adegan seramnya tidak dibuat secara melampau, ia tetap berjaya membangkitkan sedikit perasaan takut, dan membuatkan penonton teringat-ingat ‘hantu-hantu’nya yang sangat menjengkelkan.

Rating Kakimuvee: 6.5/10


Related posts

Review Filem: The Exorcist: Believer (2023)

Kakimuvee

Review Filem: The Creator (2023)

Kakimuvee

Review Filem: Sleep (2023)

Kakimuvee

Review Filem: The Equalizer 3 (2023)

Kakimuvee

Review Filem: Malbatt Misi Bakara (2023)

Kakimuvee

Review Filem: Concrete Utopia (2023)

Kakimuvee