
AMARAN SPOILER!!!
Diusia hampir 70 tahun, pasti ramai tertanya-tanya sana ada Danzel Washington masih mampu membawa watak Robert McCall ataupun tidak. Beraksi dalam filem memerlukan kudrat untuk menewaskan watak-watak jahat, sudah tentu memberi cabaran besar kepada bintang utama francais The Equalizer itu.
Namun, dalam filem ketiga, yang baru sahaja ditayangkan di pawagam, Danzel membuktikan bahawa dia masih memiliki kemampuan untuk melakonkan watak dalam filem aksi.
Selepas menumpaskan sekumpulan gangster Rusia dan bekas rakannya dalam pasukan khas, Robert McCall kini berhadapan dengan organisasi jenayah yang sangat menakutkan, iaitu keluarga mafia yang menguasai beberapa bandar kecil di tengah Itali.
Cedera akibat misinya yang terdahulu, McCall dirawat seorang doktor disebuah pekan kecil Itali, dan tinggal selama beberapa hari bagi merawat kecederaannya. Ketika berada disana, dia merasakan pekan kecil itu sangat mesra dengan penduduk yang saling membantu antara satu sama lain.
Hatinya segera jatuh cinta pada komuniti di pekan itu, tetapi dia juga melihat beberapa pekara yang telah menjentik perasaannya untuk membantu penduduk di kawasan itu, iaitu melindungi mereka dari sekumpulan pemeras ugut.
Melihat pemeras ugut itu semakin berani mengacau penduduk disitu dengan memusnahkan harta benda, McCall membuat satu keputusan sukar yang akan menentukan hidup matinya, iaitu berhadapan dengan salah satu keluarga mafia terbesar di Itali.
Seperti biasa, The Equalizer 3 membina jalan cerita yang perlahan dengan memaparkan interaksi dan kehidupan McCall di pekan tersebut. Ia merupakan acuan tipikal Antoine Fuqua dalam membangkitkan ketegangan secara perlahan-lahan agar ia dapat dilempiaskan secara maksimum apabila memasuki bahagian klimaks.
Selepas mengusik sedikit aksi ringkas di awal filem, penonton akan banyak melihat babak-babak santai dimana McCall menjalani kehidupan tersusun di pekan yang baru didiaminya. Cuma terdapat beberapa petunjuk dimana McCall cuba mengembalikan kekuatannya sebagai persediaan untuk berhadapan dengan sasarannya.
Selain itu, seperti dua filem terdahulu, kisah kali ini juga turut menampilkan watak sampingan sebagai subplot kepada kisah McCall. Apa yang menariknya, terdapat ‘twist’ tentang hubungan McCall dengan watak sampingan itu, cuma penonton hanya dapat mengentahuinya apabila filem ini memasuki ke bahagian penghujung.
Adegan aksi McCall adalah pekara yang dinantikan penonton, dan percayalah, aksi-aksi dalam The Equalizer 3 nyata tidak mengecewakan. Walaupun penonton terpaksa menunggu lama untuk melihat aksi-aksi McCall menumpaskan lawannya, penonton tetap merasa puas melihat cara McCall membunuh setiap sasarannya.
Kali ini ia kelihatan seperti agak ngeri berbanding dua filem terdahulu, seolah-olah menunjukkan bahawa McCall telah menyimpan dendam yang agak lama terhadap kumpulan mafia ini. Seperti yang dinyatakan diatas, adegan bercakap yang terlampau lama boleh diibarat seperti mengumpul perasaan marah terhadap watak-watak antagonis ini.
Apa yang dirasai penonton, sama seperti yang dirasai McCall. Dia telah lama memerhatikan kejahatan kumpulan mafia itu terhadap penduduk. Tetapi disebabkan kecederaannya, dia terpaksa memendam perasaan sehinggalah dia mempunyai masa yang sesuai untuk menghapuskan mereka. Dan, apabila kecederaannya sudah pulih, dia memulakan langkahnya untuk melindungi penduduk di pekan itu.
Cuma aksi-aksi McCall membunuh lawannya tidak begitu puas kerana babaknya klimaksnya terlampau singkat. Walaubagaimanapun, perasaan puas hati masih ada lebih-lebih melihat ketua penjahat yang angkuh diseksa McCall dengan membiarkannya mati secara perlahan-lahan ditengah-tengah lorong.
Secara keseluruhannya, The Equalizer 3 boleh dikatakan jauh lebih baik dari filem kedua, dan tahap kengerian dan aksi menghampiri filem pertama. Yang membezakan filem ini dan filem pertama adalah bilangan adegan-adegan aksi, dan sudah tentunya filem pertama memiliki beberapa babak aksi yang sangat menarik.
Apa yang pasti, ansuran kali nyata tidak mengecewakan. Pembinaan cerita yang menegangkan, disusuli dengan aksi-aksi yang mengerikan sudah cukup untuk menjadikan filem ini sangat berbaloi untuk ditonton, dan pasti tidak akan bosan jika anda menontonnya berulang-kali.
4/5