
AMARAN SPOILER!!!
Saya meletakkan satu jangkaan yang cukup tinggi terhadap filem yang bernilai RM20 juta arahan Adrian Teh, Malbatt: Misi Bakara. Namun apa yang saya dapat, adalah sebuah filem aksi ‘mediocre’ yang tidak jauh beza dengan kualiti filem aksi tempatan.
Mengambil kisah penting yang pernah berlaku dalam sejarah Angkatan Tentera Malaysia adalah satu bonus buat pengarah Adrian Teh dalam mengukuhkan lagi reputasinya sebagai pembikin filem perang tempatan. Misi Bakara bukanlah kisah biasa yang diceritakan Adrian kepada penonton, sebaliknya ia memberi gambaran sebenar tentang pengorbanan pasukan Malbatt, atau lebih tepat lagi, anggota 19 Rejimen Askar Melayu DiRaja (RAMD) Mekanis dalam usaha mereka membantu mengeluarkan anggota tentera AS yang terperangkap di Bakara Market semasa pertempuran Mogadishu pada 3 hingga 4 Oktober 1993.
Jika Black Hawk Down memberikan sudut pandangan tentera AS semasa pertempuran tersebut, Malbatt: Misi Bakara pula memaparkan kisah di pihak tentera AS.
Saya tidaklah berharap filem arahan Adrian ini setara dengan filem pemenang anugerah Black Hawk Down, tetapi sekurang-kurangnya ia memberikan sebuah filem yang boleh diingati sampai bila-bila, seperti mana filem Sarjan Hassan, Bukit Kepong atau setidak-tidaknya, filem arahannya, Paskal.
Tetapi menonton Malbatt: Misi Bakara penuh dengan kejanggalan terutamanya pada skrip dan beberapa adegan yang boleh dianggap sangat tipikal dalam industri filem tempatan. Walaupun dibarisi pelakon-pelakon handalan, terdapat kekurangan yang sangat ketara pada dialog, terutamanya yang melibatkan ungkapan-ungkapan taktikal yang tidak begitu menggambarkan suasan tegang yang dihadapi oleh watak, serta seolah-oleh seperti membaca nota di hadapan mereka.
Tidak mahu membandingkan dengan Black Hawk Down, tetapi anda akan dapat melihat perbezaan mereka dengan pelakon-pelakon ‘mat salleh’ yang menyarung seragam tentera AS dalam filem ini. Lihat betapa tegangnya mereka semasa berkomunikasi ketika dalam bertempur dan bandingkan dengan pelakon-pelakon tempatan. Saya tidaklah kata sepanjang filem dialog mereka ‘kayu’ semata-mata.
Ada juga beberapa bahagian yang saya rasakan dialog mereka sangat tulen, bersesuai dengan reputasi mereka. Mungkin kerana bahagian tersebut, mereka dibenarkan untuk ‘improv’ tanpa mengubah suai frasa taktikal yang digunakan anggota tentera sebenar.
Saya sangat berpuas hati pada bahagian kedua filem, iaitu semasa mereka menerima misi dan mula memasuki lokasi pertempuran. Walaupun dari segi latarbelakang dan kesan khas tidak begitu hebat seperti filem-filem Hollywood, Adrian berjaya memberikan satu pertempuran besar yang sangat lama dan mendebarkan kepada penonton.
Cuma dari segi perspektif Malaysia, saya merasakan ia tidak begitu menyeluruh kerana apa yang baca dari peristiwa sebenar, seperti yang dikatakan oleh veteran Somalia, berbeza dari apa yang ditunjukkan dalam filem ini. Mungkin Adrian hanya menumpukan fokus pada beberapa watak penting seperti watak lakonan Hairul Azreen dan Shaheizy Sam.
Bercakap soal pembawakan watak, mungkin ada yang tidak bersetuju, watak lakonan Hairul Azreen pada saya paling menyerlah, tenang tapi tegas, mengingatkan saya pada watak dalam filem Black Hawk Down, Danny McKnight lakonan Tom Sizemore.
Modal RM20 juta tidak menjamin rekabentuk produksi yang hebat, tetapi janganlah sampai membuatkan penonton menepuk dahi. Penghujung filem sangat mengecewakan dengan penggunana kesan penjanaan komputer yang terlampau berlebihan.
Malah, latarbelakangnya juga tampak sangat kosong, hanya melihat beberapa anggota tentera berlari kehulu-kehilir tanpa tujuan. Saya tidak pasti kenapa Adrian mengabaikan bahagian ini, tetapi bahagian tersebut sudah cukup membangkitkan bualan dikalangan penonton.
Beberapa persoalan yang bermain difikiran saya sebaik sahaja filem ini memasuki kredit. Kenapa watak-watak dalam filem ini tidak menggunakan individu sebenar, dan kenapa memasukkan ‘filler’ pasukan tentera menyelamatkan tebusan dalam sebuah filem yang dikatakan ‘berdasarkan’ kisah benar?
Dan, yang paling saya kurang gemar, seperti yang katakan di awal perenggan, iaitu babak tipikal, adalah babak dua anggota tentera yang cuba memikat wartawan asing. Ini memberikan satu gambaran yang tidak elok, sedangkan Black Hawk Down menunjukkan babak yang cukup menusuk hati dimana seorang isteri tidak sempat menjawab panggilan telefon suaminya, yang pada ketika itu sedang bersedia untuk menjalankan misi.
Jika Adrian tidak memasukkan beberapa adegan yang tidak relevan dengan filem ini, saya percaya, Malbatt: Misi Bakara jauh lebih baik dengan perspektif Malaysia yang luas tentang pertempuran di Bakara Market.
Secara keseluruhan Malbatt: Misi Bakara adalah filem yang sangat bagus bagi mereka yang ingin melihat pertempuran Mogadishu dari persepektif Malaysia. Ia tidak begitu bombastik seperti Black Hawk Down, tetapi sekurang-kurangnya memberikan sedikit perasaan bangga kepada diri kita sendiri selepas kecewa dengan sikap produksi Hollywood yang mengabaikan penggorbanan tentera Malaysia, sebaliknya memaparkan keberanian Pakistan dalam menyelamatkan tentera AS.
Sedangkan fakta sebenar, Pakistan lebih awal cabut lari atas alasan mereka tidak membawa alat penglihatan Malam. Cuma, bagi saya filem ini bukanlah filem perang terbaik tempatan dan bukanlah filem terbaik Adrian Teh. Tetapi saya tetapi tabik hormat’ kepada Adrian, para pelakon, krew filem dan pihak yang terlibat dalam pembikinan Malbatt: Misi Bakara kerana mengangkat satu peristiwa dunia yang sangat penting ke layar perak, dari perspektif kita, adalah satu tugas yang sukar dan cukup berat.
3.5/5