
Pengarah Shawn Levy memberi kemaskini terbaru mengenai filem Deadpool 3 yang akan datang.
Bercakap kepada Deadline, filem terbitan 20th Century dan Marvel Studios itu kini sudah separuh jalan pembikinannya, tetapi penggambaran terpaksa dihentikan disebabkan mogok penulis dan pelakon yang bermula pada Julai yang lalu.
“Nah, seperti industri kami yang lain, atau sekurang-kurangnya sebahagian besar daripadanya, kami berhenti seketika,” katanya. “Kami sedang menjalani penggambaran filem Deadpool, lakonan bersama Wolverine. Ia adalah keseronokkan setiap hari dan gandingan itu sangat hebat seperti yang kita semua harapkan.”
Bercakap tentang apa yang peminat boleh jangkakan daripada Deadpool 3, Levy mengusik, “Filem kami adalah mentah, berani, sangat bertaraf R dan kami berusaha keras untuk tidak merakamnya di pentas bunyi dengan persekitaran digital.”
“Kami mahukan sesuatu yang terasa, berasas, nyata…Anda meletakkan Hugh Jackman dalam wataknya yang paling ikonik bersama Ryan Reynolds dalam wataknya yang paling ikonik; ia lebih kepada keturunan Midnight Run, dan 48 Hours, dan Planes, Trains and Automobiles lebih daripada keturunan Airplane,” kata Levy.
Selain Ryan Reynolds dan Hugh Jackman, yang kembali memainkan peranan ikonik masing-masing, Deadpool 3 juga bakal menyaksikan kepulangan Karan Soni (Dopinder), Leslie Uggams (Blind Al), Morena Baccarin (Vanessa), Stefan Kapicic (Colossus), Brianna Hildebrand (Negasonic Teenage Warhead), Shioli Kutsuna (Yukio), dan Rob Delaney (Peter).
Bagaimanapun, Zazie Beetz, yang memainkan watak Domino, tidak kembali dalam threequel kali ini, manakala tidak dipastikan sama ada Josh Brolin turut membintangi filem akan datang atau pun tidak.
Emma Corrin dan Matthew Macfadyen disahkan membintangi Deadpool 3, bagaimanapun watak mereka masih belum diketahui. Bintang Loki, Owen Wilson dan Elektra, Jennifer Garner turut dikhabarkan akan muncul dalam filem akan datang, sekaligus mengisyaratkan satu lagi penggembaraan Multiverse MCU.
Deadpool 3 akan ditayangkan di pawagam pada 3 Mei 2024.