Kakimuvee – Portal Informasi Perfileman
Review

Review Filem: Maleficent: Mistress of Evil


AMARAN SPOILER!!!

Selepas 5 tahun membawakan watak proantagonis villain Maleficent, Angelina Jolie sekali membawakan watak ikonik dari cerita dongeng Sleeping Beauty menerusi filem sekuel Maleficent: Mistress of Evil. Kisah kali ini ditetapkan 5 tahun selepas kejadian filem pertama dengan menampilkan jalan cerita yang sedikit epik dan suram.

Penceritaan Maleficent: Mistress of Evil dimulakan dengan satu konspirasi terancang yang menculik pari-pari dari kerajaan Moors. Aurora (Elle Fanning) yang kini menjadi ratu cuba menyelesaikan masalah kehilangan pari-pari yang berlaku dalam kerajaannya itu. Suatu hari, Putera Phillip (Harris Dickinson) telah melamar Aurora, dan perkahwinan mereka dilihat boleh menjadi titik permulaan kepada penyatuan dua kerajaan yang bermusuhan iaitu Moors dan Ulstead.

Pada mulanya, Maleficent tidak bersetuju dengan perkahwinan tersebut, namun selepas dipujuk Aurora, dia terpaksa akur demi kebahagiaan anak angkatnya itu. Ketika menghadiri majlis makan malam di Istana kerajaan Ulstead, Ratu Ingrith (Michelle Pfeiffer), telah memprovok Maleficent sehingga berlaku satu kejadian tidak diingini yang akhirnya akan membawa kepada permusuhan berkekalan di antara bangsa manusia dan pari-pari.

Sekuel kali ini memperlihatkan satu pengalaman sinematik yang cukup mengasyikkan. Ketelitian rekabentuk produksinya, kesan visual dan rakaman yang cukup teratur serta cantik memberikan satu kepuasan yang tidak terhingga kepada mereka yang menonton filem ini. Penggunaan warna dalam filem ini juga sangat meriah, dan jika melibatkan babak-babak suram, tona warnanya akan berubah serta-merta supaya dapat membangkitkan suasana ‘dark’. Kesan solekan pada karakter Dark Fey juga sangat unikbegitu juga ketelitian pada karakter-karakter pari-pari, dari sekecil-kecil debunga sehinggalah sebesar-besar pokok, semuanya nampak sangat realistik.


Walaupun Maleficent: Mistress of Evil bersambung terus dari kisah filem pertama, pasukan kreatif filem ini tidak mempunyai masalah untuk mengembangkan lagi kisah Maleficent. Kewujudan beberapa karakter baru, dan permasalahan politik diantara bangsa manusia dan Dark Fey dapat meluaskan lagi skop penceritaannya. Bagi yang tidak pernah menonton filem Maleficent, anda tidak mempunyai masalah untuk melompat terus menyaksikan filem ini kerana tidak banyak rujukan filem dari filem pertama. Kelebihanya, plot twist mungkin lebih dirasai bagi mereka yang tidak pernah menyaksikan filem pertama.

Cuma yang sedikit mengecewakan, pembinaan jalan ceritanya agak terbatas dan tersangkut diantara keinginan untuk memuaskan hati penonton dewasa dan memberi keseronokkan kepada penonton remaja. Maleficent: Mistress of Evil cuba untuk menjadi lebih ‘dark’ tetapi terpaksa menyelitkan sedikit elemen humor. Tema politikalnya juga agak klise kerana konsep perbalahan diantara dua bangsa yang berbeza seringkali digunapakai dalam pembikinan filem-filem Hollywood.  Mungkin kerana mahu memastikan jalan cerita yang lebih ringan, mereka terpaksa mengulangi formula yang sama sebagai pemangkin dalam membina plot.

Satu lagi kekecewaan filem ini adalah babak pertempuran akhir. Babak ini sepatutnya menjadi lebih epik, lebih mendebarkan dan mampu menutup kelemahan dalam pembinaan plot filem kerana segala dendam kesumat diantara dua bangsa sepatutnya dilempias sehabis mungkin semasa pertempuran akhir. Namun, pembikin filem lebih gemar memaparkan pertempuran ala filem-filem Marvel yang kaya dengan kesan khas CGI, ‘kurang kejam’ dan ‘sekadar melambung-lambung’.

Secara keseluruhannya, Maleficent: Mistress of Evil merupakan sebuah sekuel yang menarik untuk ditonton, walaupun mempunyai sedikit masalah pada pembinaan plot dan pertarungan babak akhir, ia tetap memberikan satu bentuk jalan cerita yang baik dan memberikan pengajaran kepada penonton. Selain itu juga, kualiti para pelakon terutamanya dari Angelina Jolie, Elle Fanning dan Michelle Pfeiffer menjadi antara faktor penarik untuk anda menonton filem ini dipawagam.

Rating Kakimuvee: 7.5/10


Related posts

Alien: Romulus Menjadi Tajuk Rasmi Untuk Filem Alien Terbaru Arahan Fede Álvarez

Kakimuvee

Teaser MOANA 2 Dedahkan Tarikh Tayangan Sekuel Terbaru Disney

Kakimuvee

Review Filem: The Marvels (2023)

Kakimuvee

Pixar Sedang Membangunkan Projek Terbaru ‘CARS’

Kakimuvee

Review Filem: The Exorcist: Believer (2023)

Kakimuvee

Review Filem: The Creator (2023)

Kakimuvee