Kakimuvee – Portal Informasi Perfileman
ReviewSlot Asia

Review Filem Korea: Deliver Us From Evil (2020)


Bila menulis tajuk filem Korea Selatan Deliver Us From Evilramai pembaca Kakimuvee menyangkakan filem terbaru ini diadaptasikan dari filem seram Hollywood berjudul sama. Tidak.. filem Korea ini langsung tidak ada kena-mengena dengan filem lakonan Eric Bana itu, malah genrenya pun jauh berbeza sama sekali. 

Selepas bekerjasama dalam filem jenayah New World, pelakon Hwang Jung-Min dan Lee Jung-Jae kembali bergandingan dalam filem aksi ‘hard-boiled’ yang cukup menarik dan hebat, iaitu Deliver Us From Evil. 

Filem ini berkisar tentang bekas pembunuhan upahan, In-Nam (Hwang Jung-Min) yang pergi ke Thailand untuk menyiasat kes kehilangan kanak-kanak yang mempunyai kaitan dengannya. Disana, dia dibantu oleh Yoo-Yi (Park Jung-Min) dan mereka bekerjasama dalam menyelesaikan kes penculikan. Bagaimanapun, In-Nam mendapati dia diburu oleh Ray (lakonan Lee Jung-jae) yang ingin membalas dendam terhadap kematian adiknya, yang mana adiknya itu telah dibunuh oleh pasukan In-Nam semasa tugasan terakhir mereka.

Deliver Us From Evil memberikan sebuah jalan cerita yang cukup mudah dan mendebarkan. Ia tidak membazirkan masa dengan drama yang begitu banyak, sekadar pengenalan yang memaparkan kehidupan seorang wanita dan anaknya dan In-Nam yang hidup dalam persembunyian selepas dipaksa bersara dari pasukan pembunuh upahan. ‘Flash back’ yang dipaparkan pada bahagian pertama filem ini sedikit sebanyak memberi gambaran kepada penonton mengenai latarbelakang In-Nam. 

Apabila memasuki babak di Thailand, ‘mood’ filem menjadi semakin mendebarkan, lebih-lebih lagi apabila ia memaparkan isu pemerdagangan manusia, penculikan kanak-kanak dan penjualan organ. Bahagian kedua ini menjadi semakin menarik kerana ia memaparkan misi dua watak utama iaitu In-Nam – yang semakin hampir menjumpai lokasi kanak-kanak hilang – dan Ray yang telahpun berada di Thailand untuk memburu mangsanya. Pada saat ini, perasaan untuk melihat In-Nam membelasah penjahat dan membebaskan kanak-kanak menjadi semakin membuak-buak, begitu juga debaran yang tinggi ketika Ray semakin menghampiri buruannya. 


Babak yang menunjukkan kanak-kanak diculik benar-benar menyentuh hati dan menimbulkan perasaan geram. Walaupun memasukkan isu penculikan dan penjualan organ dalam plotnya, Deliver us From Evil bukanlah menceritakan tentang bagaimana proantagonis menumpaskan sindiket penculikan kanak-kanak, sebaliknya ia lebih kepada aksi kejar-mengejar diantara dua individu. Tetapi jangan risau, ia tetap memaparkan sindiket jenayah ditumpaskan oleh pasukan polis Thailand. 

Apa yang menariknya tentang filem ini adalah adegan aksinya. Seperti John Wick dan The Villainess, Deliver Us From Evil memberikan beberapa adegan yang tidak sanggup untuk ditonton. Walaupun adegan kerat jari dan belah perut tidak dipaparkan (atau dipotong LPF?), ia masih memberi satu perasaan, “Urghhh! kejamnya”. Watak In-Nam dalam filem lebih kepada anti-hero, yang tidak segan silu menggunakan kekerasan untuk mendapatkan maklumat. Begitu juga watak Ray, tiada perasaan, psiko, ‘over-berani’ dan kejam menjadikan ia antagonis yang sangat menakutkan. Apapun, adegan aksi yang sangat memuaskan hati sudah tentunya melihat anggota sindiket penculikan dibunuh kejam, baik dibunuh oleh In-Nam ataupun Ray sendiri.

Filem ini juga tidak meleret pada ‘ending’nya sepertimana tipikal filem-filem Korea. Ia dibuat cukup ‘nice’, cukup syahdu dan cukup menyentuh hati. Senang kata, ‘ending’ filem ini menutup kesempurnaan cerita. Selain itu juga, hubungan In-Nam dengan kanak-kanak yang dicarinya menjadi faktor yang menguatkan ‘ending’ filem ini. Tidak mahu mendedahkan spoiler besar, tetapi apa yang diperkatakan, anda harus menontonnya sendiri nanti.

Secara keseluruhan, Deliver Us From Evil boleh dikatakan filem terbaik Korea pada tahun ini. Tidak hairanlah filem ini hit di Korea Selatan dan mampu mengatasi Peninsular. Action yang menarik, lakonan mantap pelakon utamanya, cerita yang simple tetapi memberi debaran dan tidak lupa watak komik Yoo-Yi, menjadikan filem ini hampir ‘perfect.’ Kepada peminat filem-filem Korea, masukkan filem aksi ‘hard-boiled’ ini ke dalam senarai tontonan anda, sangat ‘recommended!’

Rating Kakimuvee: 9/10

Deliver Us From Evil kini sedang ditayangkan dipawagam tempatan


Related posts

K-Drama Jenayah CRUSH Akan Ditayangkan Di Disney+ Hotstar Pada 13 Mei Ini

Kakimuvee

Disney+ Umum Senarai K-Drama Bagi Tahun 2024

Kakimuvee

Kdrama Balas Dendam Terbaru The Impossible Heir Akan Tayang Di Disney+ Hostar Pada Februari Ini

Kakimuvee

Rancangan Realiti Single’s Inferno Akan Kembali Pada 12 Disember Ini

Kakimuvee

Trailer Pertama Sweet Home Musim 2 Telah Didedahkan

Kakimuvee

Netflix Kongsi Klip Terbaru “Castaway Diva” Park Eun Bin

Kakimuvee