Review Bohemian Rhapsody

125
views

Ketika lagu Bohemian Rhapsody mula dikeluarkan pada tahun 1975, pengkritik masa itu mengkritik teruk lagu terbaru Queen pada masa itu. Namun ia tidak menghalang lagu tersebut diminati peminat musik Rock pada zaman itu dan masih didengari sehinggakini.

Bila saya melihat filem biopik Freddie Mercury, Bohemian Rhapsody mendapat kritikan teruk dari pengkritik profesional luar negara, saya bertanya dalam hati adakah filem ini sama seperti lagu Bohemian Rhapsody? dikritik teruk tapi bakal diminati peminat dan akan diingati sampai bila-bila?

Bagi saya yang berpeluang menonton filem arahan Bryan Singer baru-baru ini, saya berpendapat bahawa filem Bohemian Rhapsody ini sangat hebat dan mampu menghiburkan penonton. Filem ini bukan sahaja mengamit nostalgia buat saya yang meminati kumpulan Queen, malah saya cukup kagum dengan lakonan pelakon utamanya, Rami Malek yang menjadi tunjang belakang kehebatan filem ini seperti mana kehebatan Freddie Mercury yang menguatkan kumpulan rock dari Britain itu.

Bohemian Rhapsody lebih menceritakan tentang perjalanan hidup Freddie Mercury diawal penubuhan kumpulan Rock Queen sehingga mereka membuat persembahan paling hebat di Bumi iaitu di konsert Live Aid 1985. Banyak kisah-kisah utama kumpulan Queen terutamanya Freddie ditunjukkan dalam filem Bohemian Rhapsody seperti penciptaan lagu popular mereka iaitu Bohemain Rhapsody, hubungan romantiknya dengan Mary Austin dan kehidupan songsang penyanyi tersebut.

Jalan cerita Bohemian Rhapsody boleh dikatakan sangat ringkas dan padat, cuma skripnya tidak begitu hebat, penceritaan tidak cukup dramatik serta kurang bermain dengan emosi. Secara ringkasnya perjalanan ceritanya sangat mendatar, mujur elemen ‘dark humor’ serta lagu-lagu popular Queen seperti Radio Ga Ga, We Are The Champion dan Another One Bite The Dust sedikit sebanyak menutup kelemahan filem ini. Selain itu juga, penonton tidak perlu khuatir dengan penceritaan tentang kehidupan homoseksual Freddie dalam filem ini kerana ia tidak menampilkan adegan-adegan yang boleh mencetuskan kontroversi.

Prestasi lakonan Rami Malek dalam filem ini sememangnya tidak boleh disangkal lagi. Lakonannya sangat hebat dan beliau berjaya menterjemahkan karakter Freddie Mercury seperti gaya, pergerakan badan serta percakapan penyanyi tersebut dengan begitu hebat sekali. Selain itu juga, prestasi pelakon-pelakon lain seperti Lucy Boynton, Ben Hardy dan Joseph Mazzello juga tidak mengecewakan.

Paling saya kagumi tentang filem Bohemian Rhapsody adalah babak ketika kumpulan Queen melakukan persembahan terhebat mereka di Konsert Live Aid 1985. Babak tersebut hampir sama dengan persembahan kumpulan Queen pada ketika itu, baik dari persembahan kumpulan Queen sehingga krew-krew pentas, kesemuanya hampir sama seperti yang ditunjukkan dalam konsert asal. Jujur saya katakan, sebaik sahaja tamat nyafilem, saya terus membuka laman Youtube untuk melihat kembali persembahan Queen di konsert Live Aid 1985.

Kehebatan lagu-lagu Queen diadunkan sekali dengan kejituan lakonan Rami Malek, Bohemian Rhapsody mungkin tidak digemari para pengkritik, tetapi ia mungkin dapat mengikut jejak langkah lagunya, digemari oleh para penonton. Jadi kepada penonton yang saksikan filem ini, pedulikan pengkritik, “The Show Must Go On My Dear”.

Rating Kakimuvee: 9/10