Kakimuvee – Portal Informasi Perfileman
Review

Review Filem: Spider-Man: Across the Spider-Verse (2023)


Amaran Spoiler!!!

Berbanding filem komik yang berkongsi ‘universe’, filem ‘multiverse’ sebenarnya jauh lebih menarik kerana ia menawarkan lebih banyak versi watak dan cerita yang boleh dilayar peminat. Spider-Man: Into the Spider-Verse misalnya telah memberikan satu bentu penceritaan yang unik kerana peminat buat dapat melihat interaksi watak yang sama, tapi pelbagai versi di layar perak.

Dunia ‘multiverse’ bukanlah satu pekara yang baru di layar perak, tetapi dengan perkembangan filem-filem komik dan superhero, peminat kini lebih teruja dengan penceritaan yang melangkaui batas ‘shared universe’ kerana ia tidak hanya membawa kita ke dunia yang berlainan, tetapi juga versi watak yang pelbagai. 

DC telah mengorak langkah dalam memperkenalkan ‘multiverse’nya sendiri, manakala MCU semakin mengembangkan sinematik-pelbagai-alam menerusi filem-filem dan siri TV terbaru mereka, tetapi Sony lain pula ceritanya. Mereka menggunakan ‘IP’ Spider-Man dengan cara yang agak kreatif dan unik iaitu menerusi filem animasi ala komik Marvel, Spider-Man: Into the Spider-Verse, yang telah membawa penonton melihat Miles Morales bertemu dengan versi-versi Spider-Man dari alam yang berbeza. 

Filem pertama berjaya mencetuskan fenomena dikalangan peminat superhero, bukan hanya kerana animasi yang sangat menarik, tetapi juga kepelbagaian versi Spider-Man yang dihimpun dalam satu filem. Tidak keterlaluan untuk saya katakan, Into the Spider-Verse adalah salah satu faktor kenapa peminat MCU, khususnya Spider-Man, mahu melihat Tobey Maguire dan Andrew Garfield muncul dalam filem ketiga Spider-Man lakonan Tom Holland. 


Nah, Into the Spider-Verse dan Spider-Man: No Way Home adalah filem multiverse dalam skala yang kecil kerana Across the Spider-Verse menawarkan penggembaraan ‘multiverse’ yang jauh lebih menarik dengan lebih banyak versi Spider-Man. 

Cerita kali ini tidak hanya tertumpu pada usaha Spider-Man dalam menumpaskan penjahat, sebaliknya pengorbanan, keluarga, dan setiakawan menjadi isi penting kepada penggembaraan yang sangat epik dan penuh dengan ‘roller-coaster’ emosi. Spider-Man: Across the Spider-Verse ditetapkan beberapa tahun selepas peristiwa filem pertama di mana Miles Morales mengenali kumpulan Spider-Society yang diketuai Miguel O’Hara aka Spider-Man 2099. 

Spider-Society adalah pertubuhan Spider-Man yang memantau kontuiniti kanon, dengan Spider-Gwen menjadi salah seorang ahli dalam kumpulan tersebut. Namun persahabatan, pengorbanan dan takdir Miles Morales sebagai adiwira mula diuji apabila dia mengentahui bahawa dia akan menjadi punca kepada malapetaka ‘multiverse’ yang sangat besar. 

Across the Spider-Versi menyampaikan jalan cerita yang lebih berat dan rumit berbanding filem-filem Spider-Man sebelumnya. Antara yang ditekankan adalah emosi seseorang yang bergelar Spider-Man dimana mereka berbelah-bahagi sama ada mahu mendedahkan rahsia yang terbuku dalam hati kepada orang paling rapat dalam hidup mereka. 

Pengenalan Across the Spider-Verse menunjukkan tekanan emosi yang dihadapi Gwen selepas kematian rakan baiknya, Peter Parker. Ia diburukkan lagi dengan cita-cita bapanya yang mahu menangkap Spider-Woman kerana disyaki telah membunuh Peter Parker, tanpa bapanya mengentahui bahawa Spider-Woman itu adalah anaknya sendiri. 

Situasi yang sama turut berlaku pada Miles Morales apabila dia mula menyedari bahawa hubungannya dengan ibubapa semakin rengang. Tugasnya sebagai adiwira Broklynn telah membataskan hubungannya dengan kedua ibubapanya, tetapi itu adalah secebis tekanan emosi yang dihadapi Morales, kerana dia masih belum menghadapi tragedi yang akan menghantui dirinya sepanjang hayat. 

Penceritaan filem kali ini dirumitkan lagi apabila Morales berada dipersimpangan antara penggorbanannya sebagai adiwira atau menyebabkan kemusnahan kanon secara ‘total’. Sebagai ketua Spider-Society, Miguel O’Hara sangat mementingkan keutuhan kanon kerana dia pernah berada dalam situasi yang kini telah menghantui dirinya. Perbalahan antara Morales dan Miguel timbul apabila kedua-duanya memberikan reaksi yang berbeza selepas mengentahui Morales akan menyebabkan malapetaka..

Persahabatan mula menjadi duri dalam daging dengan Morales kini berseorangan untuk menyelamatkan kedua-duanya walaupun Miguel menegaskan bahawa dia perlu menerima penggorbanannya sebagai adiwira bagi mengelakkan kemusnahan kanon dunianya. 

Walaupun arka kedua banyak membangkitkan rasa ingin tahu penonton serta meningkatkan adrenalin dengan aksi-aksi yang menarik, bahagian klimak Across the Spider-Verse antara yang perlu diberi perhatian kerana ia memberikan banyak ‘twist’ dan situasi diluar jangkaan. Kekacauan ‘multiverse’ semakin teruk pada bahagian ketiga filem ini apabila Morales berada ditempat yang tidak disangka. Dan, ketika tahap ‘rasa-ingin-tahu’ penonton semakin berbuak-buak, kita akan ‘dikecewakan’ dengan penamat yang dibiarkan tergantung seteruk-teruknya. 

Di penghujung filem, Morales terkasima melihat apa yang berada dihadapannya, manakala Gwen hadir dengan membawa harapan, dan penamat sebegini sudah tentunya membuatkan penonton merasa tidak sabar untuk melihat filem seterusnya, Spider-Man: Beyond the Spider-Verse. 

Secara keseluruhannya, Spider-Man: Across the Spider-Verse telah memberikan sebuah cerita ‘multiverse’ diluar jangkaan penonton. Dengan animasi ala buku komik yang sangat memukau, kita juga disajikan dengan pelbagai versi Spider-Man yang dikenali peminat, sama ada anda kenal melalui komik, animasi, permainan video ataupun meme. 

Bukan itu sahaja, terlampau banyak cameo yang tidak disangka, dari Lego sehinggalah versi aksi langsung, dan cameo inilah yang akan membuatkan anda lebih menghargai filem Spider-Man: Across the Spider-Verse. Tidak dilupa juga skor-skor yang rancak dan bersesuai dengan situasi babak. Pendek kata, sukar untuk mencari kekurangan, sebaliknya ia akan membuatkan anda melekat ditempat duduk dan melupakan terus ‘popcorn’ yang dibeli ketika menunggu waktu tayangan Spider-Man: Across the Spider-Verse. 

Rating Kakimuvee

5/5


Related posts

Review Filem: The Exorcist: Believer (2023)

Kakimuvee

Review Filem: The Creator (2023)

Kakimuvee

Review Filem: Sleep (2023)

Kakimuvee

Review Filem: The Equalizer 3 (2023)

Kakimuvee

Review Filem: Malbatt Misi Bakara (2023)

Kakimuvee

Pandangan Pertama Vanessa Kirby Sebagai Josephine Dalam Poster Terbaru NAPOLEON

Kakimuvee