Kakimuvee – Portal Informasi Perfileman
Trivia

Penerangan Babak ‘Mid’ & ‘Post Credit’ Spider-Man: Far From Home


Seperti biasa, Spider-Man: Far From Home memiliki babak ‘mid’ dan ‘post credit’ sepertimana yang ditunjukkan dalam filem-filem Marvel Cinematic Universe (MCU) sebelumnya.

Cuma babak kali ini boleh dikatakan memberi kejutan besar kepada penonton dan mempengaruhi perjalanan fasa 4 MCU terutamanya penceritaan filem Spider-Man seterusnya.

Bagi yang belum menyaksikan filem Spider-Man: Far From Home anda dinasihatkan untuk tidak membaca perenggan seterusnya kerana ia akan memberi ‘spoiler’ besar kepada anda. Bagi yang sudah menonton, artikel kali ini akan memberi penerangan babak ‘mid’ dan ‘post credit’ filem Spider-Man: Far From Home.

Mid Credit

Babak ini bersambung terus dari penghujung cerita filem Spider-Man: Far From Home dimana Spider-Man (Tom Holland) membawa kekasihnya, MJ (Zendaya) berhayun dari bangunan ke bangunan lain. Keseronokan Peter Parker ber’dating’ dengan MJ telah diganggu dengan berita tergempar yang dipaparkan pada skrin besar.

Berita yang disampaikan J. Jonah Jameson pada mulanya dianggap sebagai penampilan istimewa J.K. Simmons yang sinonim dengan watak Jameson dari trilogi Spider-Man arahan Sam Raimi.


Bagaimanapun, kandungan berita tersebut mula menampakan kejutan yang bakal berlaku apabila ia memaparkan berita Mysterio (Jake Gyllenhaal) dibunuh oleh Spider-Man. Tidak terhenti disitu, video palsu yang diberikan kepada Daily Bugle itu mengandungi pengakuan Mysterio yang mengenali individu disebalik topeng Spider-Man, dan menyebut nama Peter Parker berserta gambarnya.

Pendedahan tersebut bukan sahaja mengejutkan Spider-Man yang sedang menyaksikan berita tersebut ditengah-tengah orang ramai, malah turut mengejutkan penonton!

Babak ini akan mempengaruhi filem Spider-Man akan datang dimana identiti adiwira tersebut telah terbongkar. Peter tidak seperti Tony Stark yang terang-terang mendedahkan dirinya adalah Iron Man, tetapi pendedahan Tony itu memberi kesan kepada orang disekelilingnya apabila musuhnya mula mencarinya dan teman wanita, Pepper Potts turut menjadi buruan penjahat.

Jadi tidak mustahil, Peter dan orang terdekatnya seperti MJ dan Aunt May (Marisa Tomei) akan menjadi buruan musuh-musuh Spider-Man dalam filem akan datang. Dalam versi komik, identiti Peter Parker telah terbongkar beberapa kali, yang paling popular menerusi komik ‘crossover’ Civil War dimana Peter Parker secara suka rela mendedahkan identitinya bagi menyokong Superhero Registration Act (Spider-Man pada masa ini bersekutu dengan Tony Stark).

Kesan perbuatannya itu menyebabkan Aunt May berada di hospital akibat ditembak. Peter Parker yang menyesal dengan pembongkaran identitinya itu telah meminta bantuan syaitan Mephisto dalam komik Spider-Man: One More Day (bersambung dari komik Civil War) untuk memadam memori penduduk dunia (termasuklah Mary Jane) mengenai individu disebalik nama Spider-Man.

Berkemungkinan besar, Spider-Man 3 akan menyaksikan Peter mengalami kesukaran untuk menjalani kehidupan normal sebagai seorang remaja disebabkan identitinya telah terbongkar. Malah, berita yang didedahkan oleh Daily Bugle telah mencalar reputasi Spider-Man kerana dia telah membunuh Mysterio yang dianggap sebagai hero kerana beberapa kali menewaskan Elementals. Bayangkan Peter Parker diburu media dan dipandang serong oleh masyarakat kerana membunuh.

Seperti dalam komik, pendedahan identiti Spider-Man akan memudahkan musuh untuk memburu Spider-Man. Musuh-musuh Spider-Man seperti Norman Osborn, Otto Octavius, Kraven, Dmitri Anatoly dan Sergei Kravinoff, aka Kraven dan Chameleon antara villain-villain yang boleh dimasukkan dalam filem seterusnya kerana mereka sering mengancam orang disekeliling Peter, lebih-lebih lagi apabila mereka mengentahui identiti sebenar Spider-Man.

Tidak keterlaluan juga untuk mengatakan Sinister Six juga boleh dijadikan villain utama dalam Spider-Man 3 kerana MCU telahpun mendedahkan beberapa villain yang merupakan ahli Sinister Six seperti Vulture, Shocker, Scorpion dan Mysterio. Tidak mustahil, beberapa ahli Sinister Six ini akan membalas dendam terhadap Spider-Man. Dalam hal Mysterio, kematiannya mungkin boleh diragui memandangkan dia pakar dalam melakukan muslihat.

Dengan hanya tinggal 1 baki kontrak diantara Marvel Studios dan Sony, ‘mid credit’ Far From Home meninggalkan banyak persoalan tentang masa depan Spider-Man dalam MCU. Marvel Studio seperti sengaja menghasilkan babak tersebut sebagai persediaan sekiranya kerjasama diantara kedua-dua studio tidak bersambung selepas kontrak berakhir.

Sony yang telah mewujudkan dunia Marvel mereka sendiri pasti mahukan kembali karakter Spider-Man mereka, dan Marvel Studios yang sekadar meminjam perlu membuat perancangan jangka masa panjang untuk menamatkan karakter Peter Parker dalam dunia MCU. Spider-Man 3 mungkin akan menjadi konklusi buat Peter Parker, atau mungkin filem ketiga adiwira itu akan mengubah perwatakan Peter Parker dalam MCU sekirannya Sony dan Marvel Studios meneruskan kerjasama mereka.

Post Credit

Babak ini juga memberi kejutan besar kepada penonton apabila identiti Nick Fury (Samuel L. Jackson) dan Maria Hill (Cobie Smulders) sepanjang filem Spider-Man: Far From Home sebenarnya adalah Skrull Talos (Ben Mendolsohn) dan Soren. Tidak dapat dipastikan berapa lama Talos dan Soren menyamar menjadi Nick Fury dan Maria Hill, sama ada sejak dari mula MCU ataupun selepas ‘event’ Avengers: Endgame.

Nick Fury sebenar dalam filem ini sedang berehat-rehat dalam kapal angkasa Skrull, mungkin dia sedang menuju ke tempat tinggal Skrull untuk menemui rakan lamanya, Captain Marvel.

Bagaimanapun babak ini mungkin akan merencana filem Captain Marvel 2 dimana perang antara bangsa Kree dan Skrull masih belum berakhir. Dalam babak post credit ini, Talos ada menyebut sesuatu mengenai Kree namun tidak diambil peduli oleh Nick Fury. Jadi konfrontasi dia antara Kree dan Skrull mungkin akan berlaku lagi dalam sekuel Captain Marvel. 

Setakat ini, untuk mengaitkan ‘post credit’ dengan ‘event’ Secret War mungkin agak sukar kerana MCU masih belum mendedahkan niat sebenar bangsa Skrull. Malah menerusi filem Captain Marvel, ia sekadar menunjukkan Skrull sebagai bangsa yang ditindas Kree.

Apapun, babak ‘mid’ dan ‘post credit’ Spider-Man: Far From Home memberikan sesuatu yang menarik untuk dibincangkan dikalangan peminat-peminat filem Marvel terutamanya bagi mengentahui apa yang direncanakan oleh Marvel Studios terhadap karakter Spider-Man dan Captain Marvel dalam fasa 4 akan datang. Jadi kepada peminat-peminat MCU, anda ada teori yang dikemukakan? cuba kongsi teori anda diruangan komen.


Related posts

Rob Liefeld Puji Urutan Aksi DEADPOOL & WOLVERINE, Sifat Yang Terbaik Selepas WINTER SOLDIER

Kakimuvee

Easter Egg Mayat ANT-MAN Di Paparkan Dalam Trailer Terbaru DEADPOOL & WOLVERINE

Kakimuvee

Review Filem: The Marvels (2023)

Kakimuvee

[VIDEO] Trio The Marvel Melawat Planet Aladna Dalam Video ‘Deleted Scene’ Terbaru

Kakimuvee

Trailer What If…? Musim 2 Pratonton Siri Animasi Terbaru MCU

Kakimuvee

Kutipan The Marvels Menyusut 78% Pada Minggu ke-2

Kakimuvee