Kakimuvee – Portal Informasi Perfileman
ReviewSlot Tempatan

Review Drama: Keluarga Baha Don


Drama bersiri tempatan Keluarga Baha Don telahpun melabuhkan tirainya pada hari ini apabila dua episod terakhir drama tersebut telah disiarkan dilaman penstriman video Viu. Jika sebelum ini beberapa penulis menyiarkan artikel ‘recap’, artikel kali ini lebih kepada ulasan penuh selepas menyaksikan kesemua episdo Keluarga Baha Don.

Drama arahan Syed Fariz ini mengisahkan tentang Jo Don (Remy Ishak) yang terpaksa mengambilalih perniagaan selepas kematian bapanya, dan menuruti wasiat untuk mengahwini seorang wanita yang tidak dikenali iaitu Suzi Faye (Melissa Campbell). Suzy merupakan merupakan anak kepada Little Kok (Alvin Wong), salah seorang sekutu sindiket mafia yang diketuai oleh ayahnya, Baha Don (Othman Hafsham).

Jo tersepit diantara wasiat dan kekasihnya iaitu Kesuma (Jihan Muse), dimana dia terpaksa menurut wasiat arwah ayahnya. Konflik berlaku apabila Mat Don (Khir Rahman) tidak berpuas hati dengan wasiat si arwah kerana dia tidak dipilih sebagai pengganti ketua keluarga sedangkan dia adalah anak yang paling sulung. Mat cuba berpakat dengan ibunya, Mama Don (Susan Lankester) agar Jo tidak menjadi ketua keluarga.

Namun segala-galanya seperti telah ditetapkan kerana Jo akhir terpaksa mengahwini Suzy dan menjadi ketua keluarga serta ketua baru kepada sekutu-sekutuh Baha Don. Bagaimanapun, Jo tidak mengentahui bahawa perniagaan bapanya sebenarnya lebih dari apa yang disangkakan dan membawanya terjebak dalam dunia mafia.

Berdasarkan penceritaan ringkas diatas, pasti peminat menyangkakan Keluarga Baha Don merupakan satu lagi drama tipikal Melayu yang memaparkan kisah keluarga kaya yang melakukan perkahwinan paksa dan meminggirkan watak miskin yang tidak mempunyai apa-apa. Namun, setiap episod drama ini membawa penonton keluar dari landasan klise drama tempatan dan memberikan sebuah cerita yang segar dan unik kepada penonton.


Keluarga Baha Don tidak memberi fokus kepada kisah kahwin-paksa dan percintaan tiga segi diantara seorang lelaki dengan dua wanita yang berbeza darjat. Ia hanya sekadar subplot yang bertujuan memberi selingan cerita dan komedi untuk penonton bergelak ketawa. Tetapi jujur saya katakan, anda akan terasa lebih “meluat” dengan kekasih sebenar si lelaki itu berbanding gadis pilihan keluarga.

Plot utamanya lebih tertumpu kepada kehidupan kucar-kacir keluarga Baha Don terutamanya si Jo dan cabaran yang dihadapi olehnya untuk menjalankan perniagaan “tidak sah disisi undang-undang negara” disamping melayan karenah para sekutu yang nampak matang secara lahiriah tetapi seperti kanak-kanak secara perangainya. Jo tersepit diantara impiannya untuk mendapatkan “Michelin Star” buat restorannya dan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga serta sindiket.

Walaupun Keluarga Baha Don menyelitkan sedikit klise gaya hidup mewah seperti drama-drama lain, ia masih boleh diterimapakai memandangkan ia bertepatan dengan status Keluarga Baha Don yang merupakan “kepala” kepada gangster-gangster paling ganas di Malaysia. Oh, hampir terlupa, komedinya sangat tip top dan menghiburkan.a

Lebih menarik mengenai Keluarga Baha Don, ia adalah drama diklasifikasikan sebagai ‘R-rated’ atau 18 tahun-keatas sahaja disebabkan terdapat penggunaan kata-kata kesat yang begitu bersahaja diungkapkan para pelakon, dialog-dialog yang mempunyai maksud berganda dan kadang-kala disertakan perlakuan-perlakuan sensual yang tidak melampau. Anda perlu membuka sedikit ruang untuk menyaksikan drama sebegini, kerana apa? kerana anda sering meminta agar drama tempatan melakukan transformasi seperti drama-drama diluar negara. Jangan risau, ia masih tidak melampau batas tatasusila kenegaraan.

Sepekara lagi yang membuatkan Keluarga Baha Don patut menjadi drama yang harus ditonton oleh rakyat Malaysia, barisan pelakonnya. Selain dari yang saya sebutkan diatas, drama ini turut dibintangi pelakon-pelakon hebat tanah air dan luar negara seperti Sharifah Aleysha, Indi Nadarajah, Sabri Yunus, Nam Ron, Ayu Azhari, Alvin Wong, Douglas Wong, Junji Delfino, Razak Ahmad dan Mark Adam. Watak-watak mereka berwarna-warni dan bervariasi, saya suka cara mereka menterjemahkan karakter mafia dalam konteks sebagai rakyat Malaysia. Selain itu, watak-watak ‘comic relief’ seperti Angelito Jericho Papito (Mark Adam) dan Kesuma, memberikan “makanan sampingan yang enak untuk disantap” walaupun kadang-kala sedikit meloyakan. Bravo!

keluarga Baha Don

Secara keseluruhannya, sangat berbaloi menunggu setiap minggu dan menghabiskan masa 1 jam menyaksikan drama bersiri Keluarga Baha Don. Walaupun tidak sehebat siri televisyen bertemakan mafia dari luar negara, ia telah memberi niche yang segar kepada para pembikin drama tempatan untuk hasilkan sebuah karya yang lari dari konsep “Cintan cintun anak papa” yang semakin muak dikalangan penonton tanah air. Mungkin suatu hari terdapat siri seperti yang lebih serius, manalah tahu bukan? Apapun saya tidak sabar untuk menyaksikan musim kedua Keluarga Baha Don (jikalau ada) kerana tekaan saya sejak episod pertama ternyata tepat sekali selepas menyaksikan finale musim pertama ini.

Apa tekaan saya?? Spoiler Alert! plot twsit yang mengejutkan! anda saksikan sendiri drama Keluarga Baha Don yang ditayangkan di platform penstriman video VIU.

Rating Kakimuvee: 8.5/10


Related posts

Alya Iman & Nabil Aqil Bergandingan Dalam Siri Terbaru Adaptasi Novel Anggun Mikayla di Viu

Kakimuvee

“REVERSI” Dipilih Untuk Pertandingan Rasmi Di Festival Filem Far East Udine Ke-26 Pada Tahun 2024

Kakimuvee

Viu Perkenalkan Drama Adaptasi Novel Popular, Jendela Hati Lakonan MK K-Clique, Anna Jobling dan Hanna Aqeela

Kakimuvee

Siri Popular ‘Kau vs Aku’ kembali untuk Musim ke-2

Kakimuvee

Unifi TV Melancarkan Kandungannya Sendiri

Kakimuvee

Review Filem: The Exorcist: Believer (2023)

Kakimuvee