Berita mengejutkan buat peminat-peminat Marvel khususnya dan juga peminat komik, pencipta karakter-karakter Marvel, Stan Lee dilaporkan telah meninggal dunia pada usia 95 tahun.
Menurut beberapa portal hiburan antarabangsa, legenda komik berkenaan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke pusat perubatan Cedars-Sinai dari rumahnya pada pagi Isnin yang lalu (waktu Amerika Syarikat).
Sejurus selepas kematian Stan Lee, anak perempuannya Joan Celia mengeluarkan kenyataan.
“My father loved all of his fans. He was the greatest, most decent man.”
Stan Lee sebelum ini dilaporkan mengalami beberapa masalah kesihatan antaranya pneumonia. Selain itu juga, mendiang turut mengalami masalah penglihatan.
Legenda dalam industri komik itu merupakan pencipta karakter-karakter dan komik Marvel bersama-sama rakannya, Jack Kirby. Stan Lee dan Jack Kirby memulakan dunia komik Marvel dengan mencipta Fantastic Four pada tahun 1961. Kemudian mendiang terus membantu mencipta beberapa karakter Marvel terkenal seperti Spider-Man, Black Panther, The Incredible Hulk, X-Men, Iron Man, dan The Avengers. Walaupun tidak terlibat dalam pembikinan filem-filem Marvel, beliau sering muncul dalam filem dengan membawakan watak cameo.