Kakimuvee – Portal Informasi Perfileman
BeritaSlot Tempatan

Watak Animasi Tempatan, YAYA Dicalonkan Dalam Anugerah Licensing International Di Amerika Syarikat


Menjelang bulan Ramadhan ini, watak Muslimah animasi 3D rekaan Monsta, Yaya menjulang nama negara apabila rancangan Fly With Yaya Tohoku telah dicalonkan dalam ‘The Newcomer Award’ di Licensing International Excellence Awards yang berlangsung di Amerika Syarikat. Ia suatu pengiktirafan yang membanggakan kerana Licensing International Excellence Awards telah menjadi penanda aras bagi pencapaian tertinggi dalam industri perlesenan jenama sedunia sejak 35 tahun yang lalu.  

Buat julung-julung kalinya seorang watak dari Malaysia dicalonkan untuk anugerah itu, yang pernah dimenangi oleh permainan video online terkenal, Fortnite pada tahun 2019. Fly With Yaya Tohoku telah dipilih antara 600 penyertaan lain yang terdiri daripada pelbagai syarikat ternama dari 22 buah negara termasuk The Coca-Cola Company, Puma, Shiseido, Mattel, Hasbro, Bandai, The Hershey Company dan banyak lagi. 

Monsta mengambil masa 2 tahun untuk membina jenama Fly With Yaya sebagai usaha untuk membuktikan bahawa seorang watak Muslimah juga mampu menawan hati penonton dari serata dunia. Pencalonan dalam Licensing International Excellence Awards ini merupakan satu pengiktirafan besar buat Monsta serta menunjukkan bahawa watak-watak Muslim mampu mendapat tempat di media global.    

Fly With Yaya Tohoku, musim terbaru siri animasi Fly With Yaya merupakan terbitan bersama Monsta dan Creative Minds LLC. (beroperasi di Tokyo, Jepun) serta Yamagata Broadcast and Tohoku Inbound Associations. Rancangan itu mengikuti pengembaraan Yaya ke serata dunia sambil mempromosikan destinasi-destinasi pelancongan mesra Muslim. Sambutan terhadap siri tersebut terbukti sangat menggalakkan dengan jumlah tontonan sebanyak 21 juta kali di Monsta YouTube Network dalam tempoh 13 bulan sahaja.

Berikutan kejayaan itu, Monsta merancang untuk menggunakan pendekatan yang sama dalam membangunkan semula industri pelancongan Malaysia yang terkesan akibat wabak COVID-19. Selepas mendapat kepercayaan daripada industri pelancongan Jepun, Monsta lebih yakin bahawa watak-watak mereka sesuai untuk mempromosikan destinasi-destinasi pelancongan tempatan.  


Monsta berharap agar pencalonan Fly With Yaya Tohoku dalam Licensing International Excellence Awards ini akan membuka lebih banyak peluang untuk jenama Monsta dan jenama dari Malaysia secara amnya selain mempromosikan destinasi pelancongan mesra Muslim di pasaran global.

Diasaskan pada tahun 1985, Licensing International berpusat di New York City, Amerika Syarikat dan memiliki cawangan di Australia, China, Jerman, Jepun, Mexico dan United Kingdom, dengan perwakilan-perwakilan di Brazil (Brazilian Licensing Association, ABRAL), Kanada, Perancis, India, Itali dan Rusia. Keahlian Licensing International bersifat global dan mempunyai ahli di 40 buah negara serata dunia.


Related posts

Alya Iman & Nabil Aqil Bergandingan Dalam Siri Terbaru Adaptasi Novel Anggun Mikayla di Viu

Kakimuvee

“REVERSI” Dipilih Untuk Pertandingan Rasmi Di Festival Filem Far East Udine Ke-26 Pada Tahun 2024

Kakimuvee

Viu Perkenalkan Drama Adaptasi Novel Popular, Jendela Hati Lakonan MK K-Clique, Anna Jobling dan Hanna Aqeela

Kakimuvee

Siri Popular ‘Kau vs Aku’ kembali untuk Musim ke-2

Kakimuvee

Unifi TV Melancarkan Kandungannya Sendiri

Kakimuvee

Astro raih 16 anugerah di Asian Academy Creative Awards 2023

Kakimuvee