Kakimuvee – Portal Informasi Perfileman
Review

Review Filem: Meg 2: The Trench (2023)


AMARAN SPOILER!!!

Saya sangkakan, filem kolaborasi produksi Hollywood dengan syarikat dari China telah pupus, rupanya masih lagi ada, dan ianya datang dalam bentuk sekuel menerusi filem Meg 2: The Trench. 

Jason Statham sekali lagi menjadi hero dan dia kali ini tidak bertarung dengan satu jerung gergasi pra-sejarah, Megalodon, sebaliknya tiga! sekaligus meletakkan watak Statham setara dengan watak-watak hero yang sukar untuk dikalahkan termasuklah Dom Torreto.

5 tahun selepas peristiwa filem pertama, watak Statham, Jonas Taylor kini menjadi pejuang alam sekitar dengan menumpaskan sindiket yang mencemarkan alam, terutamanya lautan. Dia juga menjadi ketua kepada pasukan ekplorasi Mana One, yang meneroka jurang dalam Mariana, dimana ia adalah tempat Megalodon dijumpai. 

Jiuming Zhang, yang mengambil-alih kedudukan kakaknya, Suyin, di Mana One turut menjalankan eksperimen Megalodon dengan melihat sejauh mana kepatuhan makhluk pra-sejarah itu jika ia di bela dari kecil. Ketika sedang meneroka lokasi yang masih belum dicatat dalam peta mereka, pasukan Mana One mengesan binaan manusia. 


Hairan dengan penemuan tersebut, mereka pergi menyiasat lokasi tersebut, tetapi diserang hendap dengan letupan besar yang mengegarkan jurang tersebut. Kapal selam mereka yang dinaiki mereka mengalami kerosakkan teruk akibat letupan tersebut, dan mereka terpaksa keluar dari kenderaan mereka dan pergi ke binaan misteri itu. 

Menggunakan ‘sut-exo’ yang membolehkan mereka berjalan didasar lautan yang sedalam lebih 25 ribu kaki, mereka menuju ke binaan tersebut tanpa diketahui bahawa mereka menjadi sasaran sindiket haram yang ingin menghapuskan mereka.. dan juga sekawan megalodon serta makhluk gergasi misteri yang melihat mereka sebagai makan malam. 

Seperti filem pertama, Meg 2: The Trench menawarkan aksi popcorn yang mungkin disukai peminat. Cuma, sekuel kali ini melangkaui jangkaan otak dengan aksi-aksi watak lakonan Statham yang sukar untuk diproses oleh akal fikiran. Sepanjang perjalanan filem, hanya bahagian kedua yang benar-benar memberikan perasaan seram dan ngeri, sesuai dengan teras utama filem ini yang menyajikan ketakutan manusia berhadapan dengan jerung gergasi. 

Latarbelakang laut dalam yang gelap dan suram, ditambah apabila mereka terpaksa berjalan di dasar laut sambil diperhatian oleh makhluk-makhluk aneh di dasar lautan dalam telah membangkitkan debaran penonton. Masakan tidak, watak-watak manusia ini dilihat tidak mempunyai sebarang peluang untuk ‘survival’ apabila berada di dasar laut.

Tambahan pula, mereka bukan sahaja di buru beberapa ekor Megalodon, tetapi juga sotong gergasi, yang telah menjamah salah seorang rakan mereka dalam keadaan senyap. Dengan berada 25 ribu kaki didasar laut, penonton juga dapat merasai tekanan yang dirasai mereka. Walaupun dibantu ‘sut-exo’, peluang untuk mereka dihancurkan oleh tekanan laut masa ada, dan ia ditunjukkan apabila salah seorang daripada mereka berkecai apabila helmet yang dipakai pecah akibat retakan pada cermin serta tekanan laut. 

Namun segala bertukar menjadi ‘hampeh’ apabila Jonas Taylor, hero utama filem ini, dengan kacaknya berenang didasar laut sedalam 25 ribu kaki tanpa sebarang bantuan peralatan khas apatah lagi ‘sut-exo’. Kehebatan tubuh badan Taylor menahan tekanan lautan, mengatasi kapal selam paling kukuh pada realitinya, menunjukkan wataknya sangat ‘over-powered’, dan menyebabkan plot seterusnya sia-sia kerana wataknya pada dasarkan sukar untuk diatasi sama ada oleh megalodon mahupun penjahat dalam filem ini.

Apabila watak-watak protagonis ini berjaya menaik ke permukaan, nada filem bertukar 180 darjah, masih mengekalkan aksi-aksi melawan makhluk pra-sejarah dengan tambahan segerombolan penganas alam sekitar. Cuma elemen aksi itu digabungkan sekali dengan nada komedi yang tidak kelakar, serta beberapa keputusan bodoh yang dibuat oleh beberapa watak dalam filem ini – baik di pihak baik mahpun jahat. 

Lihat sahaja keinginan Montes, penjahat utama dalam filem ini, yang ingin membunuh Taylor. Dia boleh sahaja duduk ditepi sambil menikmati popcorn, melihat musuhnya berhempas pulas melawan tiga ekor megalodon, dan hanya perlu menarik picu apabila peluang keemasan muncul dihadapannya. Tetapi dia lebih memilih untuk ‘sailang’ megalodon dengan berada ditengah-tengah pertarungan antara jerung itu dan Taylor. 

Mungkin ada yang bilang, ia sudah disuruh oleh pengarah.. ya sudah tentu arah tuju watak dan cerita ini sudah ditulis, tetapi ini menggambarkan betapa lemahnya penulisan untuk filem ini. Saya tiada masalah dengan ketidaklogikkan filem ini, tetapi biarlah ia ditulis dengan baik agar ia menjadi filem yang menghiburkan, bukannya sekadar ‘asal boleh’ serta membangkitkan perasan geram terhadap beberapa watak yang perangainya sangat menjengkelkan. 

Secara keseluruhannya, Meg 2: The Trench hanya sekadar filem yang popcorn untuk sekali makan, dan tiada nilai untuk tontonan kali kedua dan seterusnya. Dengan wataknya yang ‘over-powered’ sudah tentu Jason Statham adalah ‘MVP’ untuk filem ini, manakala selebihnya hanya sekadar pelengkap cerita, termasuklah megalodon itu sendiri. Oh ya, sotong kurita gergasi tu elok dijadikan sotong kering. 

Rating Kakimuvee

1/5


Related posts

Penonton Antarabangsa Beri Pulangan Besar Pada ‘Aquaman 2’

Kakimuvee

Dune: Part Two Menjadi Filem Arahan Denis Villeneuve Paling Panjang

Kakimuvee

Review Filem: The Exorcist: Believer (2023)

Kakimuvee

Todd Phillips Kongsikan Gambar Terbaru Joker 2 Yang Menampilkan Joaquin Phoenix

Kakimuvee

Review Filem: The Creator (2023)

Kakimuvee

Siri Reboot Harry Potter Akan Teroka Buku-Buku Asal Dengan Lebih Mendalam

Kakimuvee