Kakimuvee – Portal Informasi Perfileman
Berita

Syamsul Yusof Mahu Dian Sastrowardoyo Berlakon Dalam Munafik 2


syamsul-yusof

Pelakon dan pengarah, Syamsul Yusof, 32, mengakui teruja apabila mendapat tahu bakal menimang cahaya mata lelaki, malah sudah mula mencari nama yang sesuai untuk bayi yang akan disambut pada Mac depan.

Syamsul yang mendirikan rumah tangga dengan Puteri Sarah Liyana, 30, pada Mac 2014 menyifatkan, penantian untuk menjadi bapa begitu mengujakan malah seronok melayani kerenah isterinya yang kini sedang hamil lima bulan.

“Pada tiga bulan pertama kehamilan, saya tidak membenarkan isteri bekerja berat. Saya sanggup menambah jumlah pekerja untuk menguruskan butik yang diusahakan isteri di Bangsar. Tetapi apabila usia kandungan memasuki bulan keempat, saya membenarkan Sarah untuk kembali bekerja.

“Bagaimanapun, saya sentiasa menasihatkannya supaya mengelak daripada menaiki tangga. Saya mahu Sarah berhati-hati kerana isteri pernah mengalami keguguran pada awal perkahwinan kami. Dalam teruja, kami cuba berjaga-jaga kerana tidak mahu dirundung kecewa lagi,” katanya.

Syamsul berkata, kehadiran bayi sulungnya itu turut membuka pintu rezeki yang luas apabila dirinya kembali diangkat sebagai Pengarah Terbaik (Filem) menerusi Munafik pada kemuncak Anugerah Skrin (ASK) 2016, malam tadi. Anak pengarah dan penerbit prolifik, Datuk Yusof Haslam itu sebelum ini, memenangi kategori yang sama pada Festival Filem Malaysia (FFM) ke-28, selain Munafik turut diangkat sebagai Filem Terbaik Nasional.


“Sejak awal isteri mengandung, rezeki saya semakin murah. Kejayaan ini juga mungkin berkat rezeki anak kami. Secara jujur, saya tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi. Menang atau kalah, saya tetap berbangga dengan filem yang saya hasilkan. Apatah lagi, filem ini menerima saingan daripada judul hebat lain seperti Redha yang dinobatkan sebagai Filem Terbaik.

“Industri perlukan lebih banyak filem seperti Redha dan saya ingin mengucapkan tahniah kepada produksi kerana berani menghasilkan filem sebegitu. Saya bersyukur dengan kemenangan ini, malah turut gembira kerana Munafik mendapat maklum balas yang memberangsangkan di Indonesia. “Saya dimaklumkan, Munafik adalah filem tempatan pertama yang mencatat kutipan tertinggi di negara itu,” katanya yang merancang untuk menghasilkan filem epik tahun depan.

Syamsul juga dalam perancangan untuk memulakan penggambaran Munafik 2 sekitar Februari atau Mac depan dan sedang mempertimbangkan idea mengambil pelakon Indonesia seperti Dian Sastrowardoyo untuk memantapkan filem itu.

sumber: Berita Harian


Related posts

Artis Terkenal Kim Jung Gi Meninggal Dunia Pada Usia 47 tahun

Kakimuvee

Syamsul Yusof Dedah Poster Teaser “The Original Gangster”

Kakimuvee

Syamsul Yusof Umum “The Original Gangster”

Kakimuvee

Datuk Yusof Haslam Bangga Dua Anaknya Warisi Legasi Sebagai Pengarah

Zulaikha

Kutipan Terkini “Mat Kilau” Cecah RM97 Juta

Kakimuvee

“Mat Kilau” Kini Kumpul RM80 Juta Dalam Tempoh 3 Minggu

Kakimuvee