Kakimuvee – Portal Informasi Perfileman
Review

Review Avengers: Infinity War


“Apa nak jadi, jadilah..” itu mungkin kata-kata yang keluar dari mulut ‘bos-bos’ Marvel Studio semasa mereka menerbitkan filem dua filem awal mereka iaitu Iron Man dan The Incredible Hulk pada tahun 2008. Hanya berpengalaman dalam dunia komik, cubaan Marvel Studio dalam dunia sinematik dianggap sangat berisiko. Mereka sebelum ini terpaksa melepaskan sebahagian karakter mereka kepada 20th Century Fox bagi menampung kerugian dalam perniagaan komik, cubaan mereka menerbitkan filem pula dianggap seperti satu perjudian besar, jika berjaya mereka akan dapat meneruskan hidup, dan jika gagal, tiada lagi nama Marvel seperti yang kita ketahui sekarang.

Namun, perjudiaan hidup mati Marvel akhirnya berbaloi. Iron Man dianggap berjaya walaupun The Incredible Hulk hampir tersungkur. Melihat kepada potensi untuk terus berjaya, Marvel meneruskan projek Marvel Cinematic Universe mereka dengan menerbitkan Iron Man 2 pada 2010 dan Thor pada 2011. Kini Marvel Cinematic Universe sudah mencecah 10 tahun. 18 filem sudah dikeluarkan, kesemuanya boleh dianggap sukses, malah MCU boleh dikatakan antara franchise paling berjaya setakat ini dengan jumlah kutipan dari filem pertama Iron Man sehingga filem terakhir Black Panther telah mencecah $14.8 billion seluruh dunia. Peminatnya jangan ditanya, boleh dikatakan MCU memiliki jumlah peminat yang begitu ramai.

Avengers: Infinity War, filem yang baru ditayangkan semalam boleh dikatakan kemuncak kepada filem-filem Marvel sebelum ini. Menantikan tayangan filem ini ibarat seperti menunggu hari raya. Manakan tidak, selepas perjalanan 10 tahun Marvel, segalanya akan ditentukan dalam filem ini. Persoalan siapakah karakter yang akan terus hidup atau dimatikan akan dijawab dalam Avengers: Infinity War. Malah melihat kesemua superhero dalam satu filem sudah cukup menjadikan filem ini dinantikan semua kaki-kaki wayang seluruh dunia terutamanya yang mengikuti MCU dari filem pertama lagi.

Avengers: Infinity War mengisahkan usaha kumpulan superhero-superhero Marvel dalam menghalang Thanos dan askar-askarnya dari mendapatkan Batu Infiniti dan mengelakkan galaksi dari musnah dihancurkan Thanos. Cliche bukan? tunggu dulu, sinopsisnya mungkin cliche tetapi huraiannya, perjalanan cerita dan gambarannya sangat menarik.

Pelbagai element diletakkan dalam filem Avengers: Infinity War. Drama, thrill, aksi, komedi, dan sedih diletakkan samarata, sama adil sehinggakan saya merasakan filem Avengers: Infinity War adalah filem terbaik yang pernah dihasilkan oleh Marvel Studios. Permulaan filem ini sahaja sudah membuatkan adrenalin berkocak dengan aksinya bersambung terus dari filem Thor: Ragnarok, kemudian pertempuran di New York menambahkan lagi keasyikkan aksi dipermulaan filem yang paling dinantikan ini. Walaupun dipertengahan cerita nampak seperti perlahan, ‘storyline’ yang berbeza mengikut kumpulan karakter tidak membuatkan penonton merasa bosan, sebaliknya membuatkan penonton ingin mengentahui apa akan berlaku seterusnya dan perancangan geng-geng superhero ini bagi menghalang Thanos dari mendapatkan batu infiniti.


Selain itu juga, saya melihat filem Avengers: Infinity War ini seperti gabungan filem-filem Marvel yang lain seperti Thor, Guardians of The Galaxy, Iron Man dan sebagainya. Bukan kerana superheronya berlakon dalam satu filem yang sama, tetapi tema dan mood filemnya. Lebih mencuit hati apabila karakter yang tidak bertemu sama sekali dalam filem-filem sebelumnya bertemu dalam filem ini. Agak kelakar apabila melihat Tony Star melawan ego dengan Dr. Strange, Peter Quill mempersendakan Thor dan Rocket Racoon berbual dengan Bucky Barnes.

Saya juga ‘sangat-sangat’ berpuas hati melihat aksi yang dipamerkan dalam filem Marvel kali ini. Aksinya begitu ‘intense’ dan epik! Lebih-lebih lagi melihat karakter yang tidak pernah bertemu dalam filem sebelum ber’combo’ menghentam Thanos serta kuncu-kuncunya. jujur saya katakan, padangan mata saya langsung tidak pergi kearah lain kerana terpegun dengan aksinya yang hebat. Anthony dan Joe Russo telah memberikan sebuah filem Marvel yang mempunyai aksi yang diharapkan. Bayangkan kalau filem ini tidak diberikan rating PG-13, saya yakin anda boleh ternganga.

Namun begitu, filem ini masih mempunyai masalah yang sama, iaitu kesan khasnya. Walaupun Avengers: Infinity War dikatakan filem Marvel yang paling mahal kosnya, kualiti kesan khasnya masih seperti filem-filem Marvel yang lain. Boleh di’gelak’kan dengan kualiti CGI yang agak kelakar. Jika sebelum ini peminat mentertawakan CGI Stepphen Wolf dalam filem Justice League, wajah Thanos juga tidak jauh bezanya. Mujur kerana filem ini Marvel, rasanya tidak ramai mengambil kesah dalam hal ini.

Pemilihan Josh Brolin sebagai Thanos bagi saya sangat bertepatan. Beliau memberikan satu perwatakan Thanos yang cukup ‘badass’ dan menakutkan. Saya suka dengan suaranya dalam mana-mana filem lakonannya, jadi apabila saya melihat beliau bakal membawakan watak Thanos, saya dapat merasakan beliau akan membawa watak villain yang paling jahat pernah dihasilkan oleh Marvel Studio. Jangkaan saya tepat, Thanos dalam filem ini sangat menakutkan dan sanggup lakukan apa saja demi mencapai matlamatnya. Marvel akhirnya berjaya memberikan watak villain yang sepatutnya mereka hasilkan sejak dari dulu lagi.

Satu lagi kelebihan filem ini ialah element kejutan serta babak dan aksi diluar jangkaan. Saya kira agak banyak jugalah Anthony dan Joe Russo memberikan kejutan kepada penonton. Saya tidak mahu mendedahkannya kerana ia boleh memberi spoiler besar kepada anda yang belum menontonnya, tetapi percayalah, segala teori yang sebelum ini banyak diperkatakan langsung tidak tepat. Lain yang dijangka, lain yang ditunjukkan, sungguh hebat mereka memberikan kejutan kepada penonton.

Secara keseluruhannya, Avengers: Infinity War saya anggap sebagai filem paling hebat dan menarik MCU selepas Captain America: Civil War. Bukan semata-mata melihat semua superhero Marvel dalam satu filem, tetapi jalan cerita, aksinya serta beberapa elemen kejutan telah membuatkan saya meletakkannya ditangga pertama senarai filem-filem MCU.

p.s: Tidak sabar pula rasanya untuk saya menanti filem seterusnya, Avengers 4.

Rating Kakimuvee: 9.5/10


Related posts

Rob Liefeld Puji Urutan Aksi DEADPOOL & WOLVERINE, Sifat Yang Terbaik Selepas WINTER SOLDIER

Kakimuvee

Easter Egg Mayat ANT-MAN Di Paparkan Dalam Trailer Terbaru DEADPOOL & WOLVERINE

Kakimuvee

Trailer What If…? Musim 2 Pratonton Siri Animasi Terbaru MCU

Kakimuvee

Kutipan The Marvels Menyusut 78% Pada Minggu ke-2

Kakimuvee

Pengarah Destin Daniel Berundur Dari Projek Avengers: The Kang Dynasty

Kakimuvee

Review Filem: The Exorcist: Believer (2023)

Kakimuvee