Kakimuvee – Portal Informasi Perfileman
Review

Review Telefilem: 18 Puasa Di Kampong Pisang


Untuk ulasan kali ini, saya tidak mahu bermukadimah panjang, sekadar terus ke isi utama tentang telefilem yang sangat dinantikan peminat, iaitu 18 Puasa di Kampong Pisang, yang juga merupakan telefilem keempat dalam siri Puasa. Jika dilihat pada tajuk, karya terbaru Mamat Khalid ini langsung tidak berkaitan dengan telefilem terdahulu, malah untuk mengatakan ia sebuah telefilem ‘spin-off’ amat jauh sekali walaupun telefilem terbaru ini dibarisi beberapa pelakon dari siri sebelumnya. 

Cerita 18 Puasa di Kampong Pisang sebenarnya lebih tertumpu pada satu karakter iaitu Barkoba lakonan Bell Ngasri, manakala watak-watak lain, terutamanya watak-watak ‘kaki-ponteng puasa’ sekadar selingan pada plot utamanya. Barkoba merupakan karakter yang penuh dengan dosa, dari mencuri, menghasut sehinggalah ponteng puasa. 

Satu hari, ketika dia sedang ‘ponteng puasa’ di kebunnya, kepalanya telah dihempas dengan durian busuk lalu mati. Rohnya telah dijemput oleh Iblis yang gemar menghisap ‘vape’ dan iblis itu memberitahu kepada Barkoba bahawa dia akan dibawa ke neraka tanpa perlu transit di alam kubur. Barkoba terkejut dengan berita yang disampaikan iblis itu, tetapi tidak terkejut kenapa iblis tidak dirantai ketika bulan puasa. 

Barkoba bertanya kepada Iblis apa dosa-dosanya sehingga dia dibawa terus ke neraka tanpa perlu transit di alam kubur. Lalu, seperti filem Korea “Along with the Gods”, iblis membawa Barkoba melihat dosa-dosanya yang lalu, dosa-dosa yang membuatkan Barkoba menyesal tak sudah tetapi tidak berguna kerana dia sudah mati, dan iblis ketawa berdekah-dekah kerana mereka bakal menyambut tetamu neraka yang paling istimewa, iaitu Barkoba. 

Konsep yang diterapkan Mamat Khalid untuk siri kali ini sangat berbeza dari telefilem sebelumnya. Fokusnya bukan pada gelagat geng plastik hitam, tetapi pada Barkoba dan setiap dosa yang pernah dilakukannya. Bagi saya, telefilem kali ini menawarkan konsep yang sedikit segar dan penuh dengan isi. Setiap dosa Barkoba yang ditunjukkan oleh Iblis secara tidak langsung memberi pengajaran dan peringatan kepada penonton. 


Walaubagaimanapun, disebalik cerita yang mempunyai isi, saya sebenar merasa sedikit bosan dengan telefilem kali ini. Dari aspek teknikal, saya sudah boleh jangka. CGI karya Mamat Khalid memang agak lucu, begitu juga sinematografi dan tonanya. Jadi, segala aspek teknikal saya boleh ditutup sebelah mata. Saya kecewa dengan elemen komedinya yang semakin lama semakin tipikal dan klise. Masih ada babak komedi yang boleh membuatkan saya tertawa, tetapi lebih banyak yang ‘try hard’ sehingga saya ‘try hard’ untuk menghiburkan diri.

Plotnya pula sangat mendatar sehingga mata saya terasa sangat berat. Saya tidak teruja untuk mengentahui apa yang akan berlaku seterusnya kerana ia menceritakan pekara yang sama – Iblis tunjuk dosa Barkoba, Barkoba menangis menyesal, Iblis membebel, iblis ketawa.

Saya cuma ingin tahu apa yang berlaku dihujung filem walaupun saya boleh jangka penamat yang ‘happy ending’. Salah satu plot yang saya kurang gemar adalah ‘flashback’ Kiambang. Kisah Kiambang dibuat terlampau panjang, dan langsung tidak membantu dalam perkembangan plot. ‘Ultimate dosa’ paling mengarut, kerana setiap dosa yang dibuat Barkoba sudah tentunya ‘ultimate’.

Dari segi karakter, Bell Ngasri sememangnya tidak mengecewakan, begitu juga Nam Ron, dan Abang Jay! (Jaafar Onn) sangat mencuri perhatian walaupun kadang-kala lakonannya terlampau ‘over’. Saya cuma sedikit ralat kerana tidak dapat melihat dengan lebih banyak watak lakonan Kazar dan Aziz M. Osman. 

Seperti biasa Mamat Khalid akan menyelitkan sindiran pada dialog atau babak. Sindiran politik masih ada, cuma terdapat beberapa dialog telah ditapis oleh Astro, mungkin mahu mengelakkan kontroversi. Selain itu juga, pengarah turut menyindir mereka yang terlibat dalam industri filem, cuma saya tidak pasti kepada siapakah sindiran itu dituju. 

Secara keseluruhannya, 18 Puasa di Kampong Pisang masih menarik untuk ditonton, terutamanya kepada penonton yang meminati karya-karya Mamat Khalid. Telefilem ini bukan sahaja memberi hiburan kepada penonton, malah dalam masa yang sama turut berdakwah dan saling ingat-mengingati tentang pekara-pekara yang dilarang agama. Bagi saya, telefilem ini memuaskan, tetapi tidak begitu ‘memorable’ seperti 16 Puasa. 

Rating Kakimuvee

2.5/5


Related posts

Alya Iman & Nabil Aqil Bergandingan Dalam Siri Terbaru Adaptasi Novel Anggun Mikayla di Viu

Kakimuvee

“REVERSI” Dipilih Untuk Pertandingan Rasmi Di Festival Filem Far East Udine Ke-26 Pada Tahun 2024

Kakimuvee

Viu Perkenalkan Drama Adaptasi Novel Popular, Jendela Hati Lakonan MK K-Clique, Anna Jobling dan Hanna Aqeela

Kakimuvee

Siri Popular ‘Kau vs Aku’ kembali untuk Musim ke-2

Kakimuvee

Unifi TV Melancarkan Kandungannya Sendiri

Kakimuvee

Review Filem: The Exorcist: Believer (2023)

Kakimuvee