Slot Tempatan

Zombitopia Memaparkan Kisah Manusia Dijangkiti Virus Sehingga Menjadi Zombi

Views

Setelah kali terakhir tampil dengan filem Zombie pada tahun 2013, pengarah MJ Woo kini tampil dengan sebuah lagi filem berjudul Zombitopia. Diterbitkan oleh Greenlight Pictures dan Lomo Pictures, filem berkenaan menampilkan barisan pelakon seperti Shaheizy Sam, Bront Palarae, Datin Elvina Mohamad, Sharifah Amani dan Azman Hassan.

Pelakon utamanya, Shaheizy Sam berkata, dia tertarik untuk membintangi filem berkenaan kerana ia sebuah filem zombi yang bukan menjurus kepada genre komedi.

“Biasanya kalau filem zombi di Malaysia, ia lebih ke arah komedi dan Zombitopia memang berbeza. Lagipun saya nak rasai sendiri pengalaman bagaimana sekiranya dunia ini benar-benar ada zombi.

“Selain itu, apabila melihat barisan pelakon juga membuatkan saya cukup bersemangat kerana digandingkan dengan pelakon-pelakon hebat,” ujarnya.

Menurutnya, dalam filem ini dia memegang watak sebagai Zidik, seorang anak yatim piatu dan berkawan dengan Zooey semasa dibesarkan di rumah anak yatim. Mengenai bekerja di bawah arahan MJ Woo pula, Sam menyatakan tiada sebarang masalah memandangkan mereka pernah sama-sama bekerjasama sebelum ini.

“Saya mempunyai keyakinan tinggi bahawa MJ Woo mampu menghasilkan sebuah filem yang bagus dan berkualiti berdasarkan filem-filem terdahulu yang pernah dihasilkannya.

BACA:  Zahirah MacWilson & Maya Karin Bergasak Dalam Trailer BULAN DAN PRIA TERHEBAT

“Apa yang saya boleh katakan, Zombitopia adalah sebuah nashkah yang mampu memberikan hiburan kepada penonton. Biarpun ia sebuah filem fiksyen, tetapi saya percaya penonton akan dapat merasai bagaimana berada dalam dunia yang penuh dengan zombi,” ujarnya.

Dalam pada itu, berkenaan cabaran yang dihadapi semasa penggambaran, Sam memberitahu antara apabila ia sarat dengan babak aksi yang memerlukan ketahanan fizikal.

“Sebelum ini kalau melakonkan babak aksi, ia antara manusia dengan manusia. Namun, dalam filem ini musuh yang perlu dihadapi adalah zombi.

“Tidak dinafikan semasa penggambaran saya dapat merasai kelainan, seolah-olah berada dalam dunia zombi. Namun begitu, saya anggap ini merupakan satu pengalaman yang sangat berharga,” jelasnya.

Bagi seorang lagi pelakon utamanya, Elvina pula memberitahu dia sangat teruja menantikan kemunculan filem ini di pawagam.

Ujarnya, setelah empat tahun dihasilkan, dia gembira kerana Zombitopia akhirnya akan menemui penonton.

“Ia adalah filem pertama lakonan saya dan sudah tentu saya amat berdebar untuk melihat lakonan sendiri memandangkan pada waktu itu saya masih lagi baharu dalam bidang seni.

BACA:  Nabila Huda Membalas Dendam Dalam Filem Seram Thriller M4M4

“Apatah lagi dapat berlakon dengan barisan pelakon hebat seperti Shaheizy Sam, Bront Palarae dan Sharifah Amani. Namun, mereka banyak membantu saya sepanjang penggambaran berlangsung,” ujarnya yang membawakan watak sebagai Zooey.

Berkenaan watak yang dibawakannya pula, Elvina memberitahu karakter yang dibawakannya adalah seorang gadis separuh manusia dan separuh Zombie. Ujarnya, ia sebenarnya memberi cabaran yang tersendiri memandangkan perlu membawakan dua karakter dalam filem berkenaan.

“Untuk menjayakan watak ini, saya ada buat kajian dan menonton filem-filem Zombie. Selain itu, saya ada juga babak di mana mulut saya memang berdarah betul-betul setelah saya terjatuh atas kamera,” ujarnya.

Akan ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 13 Februari ini, Zombitopia menjanjikan perjalanan yang menyeronokkan, penuh aksi dan dramatik untuk semua penonton dan seisi keluarga.

Tinggalkan Balasan

shares