BeritaSlot Tempatan

YouTube BoBoiBoy – Monsta Channel Telah Mencecah 5 Juta Langganan Dari Lebih 70 Buah Negara!

BoboiBoy juga mendapat sambutan hangat di China

Views

Baru-baru ini saluran YouTube Monsta Channel telah mencecah lebih 5 juta langganan. Ini merupakan suatu pencapaian besar buat Animonsta Studios sejak saluran itu mula diperkenalkan pada tahun 2014. Monsta Channel adalah sebahagian daripada Monsta Youtube Network, antara rangkaian portal video terbesar di rantau Asia Tenggara dengan 8.5 juta langganan.

Video-video di Monsta YouTube Network telah ditonton lebih 4 bilion kali oleh penonton dari lebih 70 buah negara. Pelbagai siri animasi daripada Animonsta Studios seperti BoBoiBoyFly With Yaya, dan siri baharu, Pesanan Papa Pipi boleh ditonton secara percuma di Monsta Channel.

Pesanan Papa Pipi yang mula ditayangkan dua bulan lepas telah ditonton lebih 20 juta kali di saluran YouTube Monsta Channel. Ia juga mendapat sambutan hebat di aplikasi Facebook, Instagram dan TikTok dengan purata tontonan sebanyak 15 juta kali. Klip-klip pendek dari Pesanan Papa Pipi sering tular di media sosial dan dikongsi oleh para 'netizen'. Ini adalah kejayaan yang luar biasa untuk sebuah rancangan baharu yang hanya disiarkan secara 'online' tanpa sebarang promosi di saluran televisyen tempatan. Pesanan Papa Pipi adalah sebuah fenomena baru yang menonjolkan telatah lucu Papa Zola, seorang bapa dan guru sekolah yang terkenal dengan lawak selorohnya dari siri BoBoiBoy, bersama anak perempuannya yang cilik dan comel iaitu Pipi Zola.

Superhero tempatan Malaysia, BoBoiBoy sudah mula mendapat tempat di hati peminat di China. Siri tersebut telah berjaya mencapai 40 juta tontonan di Tencent Video, sebuah portal video yang popular China. Dengan sambutan yang memberangsangkan ini, BoBoiBoy The Movie akan memulakan tayangan di portal Tencent Video, diikuti oleh BoBoiBoy Movie 2 yang bakal muncul di pawagam-pawagam China tidak lama lagi.

Akhir sekali, siri pelancongan mesra Muslim Fly With Yaya telah mendapat lebih daripada 27 juta tontonan di saluran-saluran rasmi Animonsta Studios. Yaya, seorang superhero Muslimah juga dari siri BoBoiBoy, telah menjelajah ke pelbagai lokasi menarik seperti Tokyo, Kyoto, Osaka serta rantau Tohoku di Jepun. Siri ini diterbitkan khas oleh Animonsta Studios dan Creative Minds Japan, dengan kerjasama daripada Yamagata Broadcasting Company dan Tohoku Inbound Association, dan turut disokong oleh kerajaan Jepun.

Selain daripada siri animasi ciptaan Animonsta Studios, Monsta Channel turut menayangkan pelbagai rancangan dari luar negara yang boleh ditonton secara sah dan percuma, seperti Pokémon the Series: Sun & Moon, Sun & Moon Ultra Adventure, Beyblade Burst, Beyblade Burst Evolution, The Oddbods Show, BOING The Play Ranger, Zoids Wild, Suzy Zoo, Om Nom Stories dan Noonbory.

Dengan pencapaian dan perkembangan yang memberangsangkan ini, Animonsta Studios mensasarkan untuk terus berkembang di platform digital menerusi penyediaan kandungan animasi yang lebih banyak dan berkualiti dari seluruh dunia ke rantau ini.

Tinggalkan Balasan

shares
Enable Notifications    Ok No thanks