Kakimuvee – Portal Informasi Perfileman
Review

Wheely Review


Walaupun filem-filem tempatan masih tidak berupaya untuk bersaing dengan filem-filem dari Negara serantau, kita masih ada sesuatu yang masih boleh dibanggakan, iaitu filem animasi. Kehebatan produksi tempatan dalam menghasilkan filem animasi tidak boleh disangkal lagi. Boboiboy: The Movie, Geng: Pengembaraan Bermula adalah antara filem animasi tempatan yang berjaya menambat hati penonton tempatan dan luar Negara.

Terbaru KRU menerusi anak syarikatnya, Kartun Studio telah menghasilkan sebuah filem animasi yang berjudul Wheely. Filem yang baru ditayangkan pada 16 Ogos yang lalu membuktikan filem animasi Negara semakin maju kehadapan.

Filem ini menyaksikan debut pertama buat pengarah Yusri Abdul Halim dalam pengarahan filem bergenre animasi. Dibintangi Zizan Razak, Johan Raja Lawak, Lisa Surihani dan Norman Abdul Halim, Wheely mengisahkan tentang bekas pelumba jalanan bernama Wheely yang ingin kembali ke dunia perlumbaan selepas dia terlibat dengan satu kemalangan yang dasyat. Bagaimanapun, gadis impiannya telah diculik oleh sebuah sindiket penyeludupan kereta mewah dan dia perlu menyelamatkan gadis berkenaan dari kumpulan sindiket itu yang diketuai oleh Kaiser, sebuah trak besar.

Wheely memaparkan sebuah animasi yang cukup baik sekali. Ini menunjukkan, KRU bersungguh-sungguh menghasilkan sebuah filem animasi yang setanding dengan kualiti filem-filem animasi dari luar negara. Animasinya sangat kemas terutamanya animasi pada karakter-karakter filem. Bagaimanapun terdapat berapa animasi latar seperti suasana bandar dan permandangan yang bagi saya tidak begitu mengagumkan.

Walaupun animasi Wheely sangat cantik, jalan ceritanya agak lemah dan tidak asli. Inilah masalah dalam filem-filem terbitan KRU. Wheely secara terang-terangan meniru konsep cerita filem Cars yang diterbitkan pada 2006. Malah versi KRU sangat membosankan sehingga saya tidak sabar menunggu filem ini tamat kerana tidak tahan dengan kebosanan yang ditunjukkan.


Paling mengecewakan, lakonan suara para pelakonnya. Mendatar, tidak bersemangat dan paling teruk, dialog-dialog yang dituturkan mereka, tidak kreatif dan agak membosankan. Bagi saya, hanya Johan saja yang Berjaya membawakan watak Putt Putt dengan baik, itu pun kadang kala lawak yang cuba disampaikan tidak begitu menjadi. Paling menjengkelkan adalah Zizan Razak, tona suaranya meleret dan dia seolah-olah membaca skrip tanpa menunjukkan ekspresi suara. Zizan memang pelakon komedi yang baik, tapi sebagai pelakon suara, agak teruk sekali.

Secara keseluruhannya, Wheely bagi saya adalah sebuah filem animasi yang cukup cantik, tapi sayang filem ini mampu pergi lebih jauh jika mereka menghasilkan karya yang cukup asli ditambah dengan kualiti dialog dan pemilihan pelakon suara yang sesuai. Apa yang boleh saya katakan, pasukan produksi mereka berkerja keras dalam menghasilkan sesuatu yang cukup baik dan cantik, tetapi dirosakkan oleh penulis yang malas, bak kata Deadpool “Well, That’s just lazy writing”

Rating Kakimuvee: 5/10


Related posts

Review Filem: The Creator (2023)

Kakimuvee

Review Filem: Sleep (2023)

Kakimuvee

Review Filem: The Equalizer 3 (2023)

Kakimuvee

Review Filem: Malbatt Misi Bakara (2023)

Kakimuvee

Review Filem: Concrete Utopia (2023)

Kakimuvee

Review Filem: Mat Tudung Begins (2023)

Ahmad Fariszuan