Pelakon filem Tombiruo: Penunggu Rimba yang juga pendukung watak utama filem berkenaan, Zul Ariffin kini dengan bangga boleh mengaku yang dia bukanlah seorang pelakon yang “jual muka”. Beliau menjelaskan bahawa wataknya dalam filem tersebut amat berbeza dengan filem-filem lain sebelum ini.
Salah satu perbezaan yang paling ketara ialah Zul tidak dapat berkomunikasi menggunakan ekspresi mukanya kerana wataknya memakai topeng sepanjang filem tersebut. Oleh itu, Zul terpaksalah menyampaikan mesej melalui bahasa badan dan juga gerakan mata kerana wataknya juga kurang dialog.
“Watak yang saya mainkan ini agak susah. Bukan saja saya tak biasa berlakon dengan topeng, tapi watak saya juga tak berbaju, dan saya juga perlu pakai rambut palsu. Jadi pada mulanya ia agak kekok, tapi saya perlu biasakan diri,” ujar pelakon tersebut. “
“Tapi sekurang-kurangnya saya boleh beritahu orang yang saya bukan pelakon jual muka!”
Sementara itu, beliau juga turut menceritakan pengalamannya tercedera semasa melakukan babak aksi dalam filem berkenaan.
“Hari kedua saya dah tercedera, saya terpaksa rehat dua minggu dan buat fisioterapi, tapi selepas pulih, saya melakukan hampir 90 peratus aksi dalam filem ini,” Zul-Ariffin.
Tombiruo: Penunggu Rimba merupakan naskah adaptasi dari novel terkenal nukilan Ramlee Awang Murshid, dibarisi pelakon ternama Malaysia seperti Zul Ariffin, Farid Kamil, Nabila Huda, Dynas Mokhtar, Datuk M. Nasir, Faizal Hussein dan ramai lagi.
Filem ini menceritakan seorang lelaki bernama Ejim yang digelarkan sebagai Tombiruo dan dianggap penduduk kampung sebagai penunggu rimba. Kerana ia memiliki wajah bukan manusia, Ejim disisihkan oleh penduduk dan sentiasa memakai topeng.
Apabila bapanya terbunuh dalam satu insiden ketika sebuah projek empangan bakal dibangunkan, Tombiruo bersumpah mahu membalas dendam terhadap mereka yang bertanggungjawab.
Tombiruo: Penunggu Rimba mula ditayangkan diseluruh negara pada 12 Oktober 2017.