
Hujung Januari yang lalu, media hiburan antarabangsa mendakwa HBO Max sedang membangunkan siri ‘live-action’ “Harry Potter”. Bagaimanapun, laporan media itu disangkal jurucakap studio yang menyatakan, ““Tiada siri Harry Potter sedang dibangunkan di studio atau di platform streaming”.
Kini, timbul satu lagi khabar angin yang mengatakan Warner Bros. bukan sahaja merancang siri ‘live-action’ “Harry Potter”, tetapi turut membangunkan sebuah filem sekuel terbaru!.
Ketika bercakap di Persidangan Teknologi, Media & Telekomunikasi Morgan Stanley, Ketua Pegawai Eksekutif WarnerMedia Jason Kilar mendedahkan perancangan misteri diantara Warner Bros. dan J.K. Rowling.
“Ada perkara kecil yang disebut Harry Potter, yang merupakan salah satu francais yang paling disukai. Dan kami sangat berterima kasih kerana dapat bekerjasama dengan J.K. Rowling dan jadi saya berpendapat, di sana juga ada banyak keseronokan dan potensi” – menurut Kilar yang dipetik dari The Hollywood Reporter.
Kilar tidak mendedahkan dengan lebih lanjut mengenai perancangan mereka, tetapi spekulasi terbaru menunjukkan bahawa Warner Bros ingin memperluaskan francais filem terkenal itu dengan meletakkan siri TV ‘live-action’ Harry Potter dalam pembangunan awal di HBO Max.
Dan untuk filem, terdapat kemungkinan Warner Bros. sedang berbincang untuk membangunkan plot terbaru yang berdasarkan pementasan teater “Harry Potter and the Cursed Child“.
Spekulasi mengenai sekuel “Harry Potter” – yang haknya dikawal Warner Bros. bersama pencipta J.K. Rowling – muncul selepas Kilar bercakap mengenai sumber kreatif yang luas dimana ia boleh digunakan Warner Bros. dalam mengembangkan dunia ‘Wizarding World’.