
Pengarah Rebecca, Ben Wheatley telah dipilih oleh Warner Bros. untuk menerajui projek sekuel The Meg, lapor The Hollywood Reporter.
Menurut sumber, sebilangan besar pelakon dari filem pertama dijangka kembali, termasuklah bintang utama, Jason Statham (Hobbs & Shaw). Selain itu juga, pasukan kreatif yang terdiri daripada penulis skrip Dean Georgaris dan Jon Hoeber & Erich Hoeber turut dikekalkan, dan akan menulis lakonlayar untuk filem akan datang.
Berdasarkan buku terlaris New York Times oleh Steve Alten, The Meg menceritakan kisah mengisahkan sepasukan kru daripada program pemantau laut dalam telah menyelam menggunakan kapal selam ke dasar lautan, namun mereka terperangkap apabila diserang oleh makhluk yang disangkakan sudah pupus, iaitu jerung pra-sejarah berukuran 75 kaki yang dikenali sebagai Megalodon. Pakar selam penyelamat Jonas Taylor perlu menyelamatkan mereka tetapi tiada siapa yang tahu dia pernah berdepan dengan makhluk itu sebelum ini. Kini dia bukan sahaja perlu berdepan dengan ketakutannya sendiri tetapi juga menyelamatkan mereka yang terperangkap.
Filem pertama diarahkan oleh John Turteltaub (National Treasure) dan telah berjaya meraih lebih $530 juta dolar seluruh dunia. Kejayaan The Meg mendorong Warner Bros. untuk menghasilkan filem sekuel, dan dijangkakan filem akan datang akan berdasarkan dari novel kedua Steve Alten berjudul The Meg: The Trench.