
Selepas membatalkan francais Fantastic Beasts, Warner Bros. dilaporkan sedang mengintai peluang untuk mengembangkan dunia Wizarding World menerusi francais Harry Potter.
Menurut laporan baharu dari laman hiburan Puck, bos Warner Bros., David Zaslav, dikhabarkan berminat untuk membangunkan adaptasi dua bahagian Harry Potter and the Cursed Child.
Harry Potter and the Cursed Child, yang merupakan lakonan teater di West End, London dan Broadway, dianggap sebagai sekuel yang agak memecahbelahkan peminat yang kecewa dengan cara beberapa watak digambarkan sepanjang perjalanan cerita.
Penulis asal Harry Potter, J.K. Rowling dikatakan tidak berminat untuk mengadaptasikan The Cursed Child ke filem, tetapi Zaslav berharap dia dapat mengubah fikiran Rowling, terutamnya dalam usaha Warner Bros. yang mahu mengekalkan kesinambungan francais di layar perak.
Dengan Fantastic Beasts tidak diteruskan, agak sukar untuk kita melihat dunia Wizarding World berkembang dalam masa yang terdekat, lebih-lebih lagi segalanya bergantung kepada Rowling yang merupakan penulis asal Harry Potter.
Warner Bros. Discovery yang dilihat berminat untuk meneruskan francais Harry Potter mempunyai dua pilihan: sama ada menghasilkan semula keseluruhan francais, atau mengangkat Harry Potter and the Cursed Child ke layar perak.
‘Remake’ mungkin jalan yang terakhir, dan tidak dinafikan Harry Potter and the Cursed Child mampu menghasilkan beberapa filem yang hebat, asalkan pelakon utamanya, Daniel Radcliffe, Emma Watson, dan Rupert Grint dapat diyakinkan kembali untuk mengulangi peranan mereka.
Kerana, ketiga-tiga mereka sebelum ini pernah berkata bahawa mereka tidak mahu selamanya dikaitkan dengan watak Harry, Hermoine, dan Ron.