
Gelaran pelakon gred A langsung tidak membawa apa-apa makna buat pelakon veteran tempatan. Jika di luar negara, khususnya Hollywood, pelakon veteran masih lagi relevan dengan jumlah bayaran yang sangat mahal.
Tetapi, di Malaysia, pelakon-pelakon veteran, yang terkenal kerana bakat dan kualiti lakonan mereka, diperlakukan sebaliknya apabila ada dikalangan mereka ditawarkan bayaran yang tidak masuk akal oleh sesetengah syarikat produksi.
Kelmarin, pelakon veteran Wan Maimunah melahirkan rasa kecewanya apabila dia ditawarkan bayaran RM200 untuk membintangi sebuah filem.
Memetik laporan Harian Metro, bintang Pi Mai Pi Mai Tang Tu itu sangat kecewa mengenangkan bayaran yang rendah itu untuk berlakon dalam sebuah telefilem.
“Saya tidak merajuk dan masih sayangkan karier lakonan ini kerana sudah sebati dengan diri. Tapi, bila fikirkan bayaran tidak setimpal dan amat rendah, lebih baiklah saya duduk di rumah dan berehat. Rezeki Allah itu luas dan ada di mana-mana.
“Cuma, rasa sedih itu membuat hati saya sebak mengenangkan RM200 saja ditawarkan untuk berlakon sebuah telefilem. Jumlah babak mesti banyak dan sudah tentu memenatkan. Tapi, tak apalah memang bukan rezeki saya,”
Menurutnya lagi, isu bayaran itu bukanlah pekara baharu kerana ramai pelakon veteran ditawarkan bayaran yang tidak setimpal untuk membintangi mana-mana filem atau drama, dan pekara tersebut seolah-olah tidak menemui jalan penyelesaian.
Sementara itu, isu tersebut mendapat perhatian pelakon dan pengarah Sabri Yunus yang beranggapan tawaran tersebut seperti menghina kredibiliti pelakon veteran.
“Kak Wan (Wan Maimunah) adalah seorang pelakon yang boleh menjayakan pelbagai watak. Jangan buat penghinaan sebegini, lagi baik tak payah ambil berlakon.
“Mana-mana pelakon veteran pun jangan sesekali ambil tawaran sebegini kerana ia jelas menghina diri sendiri,” ujar Sabri Yunus kepada Utusan Malaysia
Bagi penerbit dan pengarah terkenal, Datuk Yusof Haslam, bayaran RM200 adalah tidak logik sama sekali kerana itu adalah kadar bayaran bagi pelakon tambahan dengan sedikit dialog.
Bagi pelakon veteran yang memegang watak pembantu atau utama kebiasaannya mereka akan dibayar antara RM1,000 ke RM2,000 sehari.
Jadi diharapkan syarikat produksi, baik yang lama atau yang baharu, tidak mengambil kesempatan terhadap pelakon-pelakon veteran tanah air.
Jangan hanya kerana sanggup mengeluarkan bayaran yang tinggi kepada pelakon baharu atau pelakon muda, pelakon veteran diperlekehkan dengan bayaran yang tidak setimpal dengan bakat mereka.