Kakimuvee – Portal Informasi Perfileman
BeritaSlot Tempatan

WALID Angkat Isu Penculikan Kanak-Kanak, Sarat Dengan Aksi Seni Mempertahankan Diri Silat


Setelah kejayaan filem Geran yang ditayangkan pada tahun 2019, Layar Pictures dengan bangga telah menerbitkan sebuah lagi filem aksi berjudul WALID.

Mengangkat tentang isu penculikan kanak-kanak, Walid merupakan sebuah filem aksi yang sarat dengan elemen seni mempertahankan diri iaitu silat.

“Untuk filem terbaharu ini, saya masih lagi mengangkat seni silat sebagai elemen aksi kerana secara peribadi saya memang meminati ilmu seni mempertahankan diri ini.

“Pada saya filem adalah salah satu medium untuk mempromosikan tentang sesuatu perkara dan sebab itu saya jadikan filem Walid ini sebagai medium menarik lebih ramai terutama sekali anak-anak muda mempelajari silat,” ujarnya.

Areel berkata, Walid bukan sekadar sebuah filem aksi semata-mata, malah turut mengangkat isu kemanusiaan dan kenegaraan dengan menerapkan silat yang merupakan warisan budaya sebagai ‘ramuan’ utama.


Ujarnya, filem terbaharu arahannya itu menyoroti pentingnya pendidikan kerana sesetengah ahli masyarakat ditolak hak untuk mencari pengetahuan.

Menurutnya lagi, Walid juga menggambarkan isu penting perdagangan manusia di mana kanak-kanak digunakan untuk menjadi komoditi dalam pasaran hitam global.

Menariknya, filem tersebut menampilkan barisan pelakon-pelakon hebat seperti Megat Sharizal, Namron, Fad Annuar, Fieyna Tajudin, Puteri Qaseh, Shamputra, Yusran Hasim dan ramai lagi.

Jelasnya, penggambaran pula dilakukan di negeri Kedah sekitar Februari 2022 iaitu ketika negara baru sahaja berakhir daripada pandemik Covid-19.

Dalam pada itu, Areel menjelaskan apa yang istimewanya tentang filem ini apabila barisan pelakon rata-ratanya mempunyai asas dalam seni mempertahankan diri.

“Untuk filem Walid, saya memang memilih pelakon yang ada ilmu silat kerana ia bergantung kepada keperluan skrip memandangkan ia adalah sebuah filem aksi.

“Boleh dikatakan 99 peratus pelakon yang terlibat dalam aksi pertarungan adalah pesilat sebenar dan itu yang menjadi kelebihan kepada filem Walid untuk menarik minat penonton,” ujarnya.

Pada masa sama, Areel juga berharap agar penonton dapat menerima karya baharunya itu, sama seperti filem arahannya sebelum ini.

“Selain terhibur dengan cerita yang dipaparkan, saya harap penonton dapat melihat sisi lain kepada naskah ini, terutama sekali dalam mengangkat warisan seni budaya kita sendiri sehingga ke luar negara.

“Malah, ia juga dibuktikan apabila filem Walid ini juga sudah ditayangkan di negara seperti Amerika Syarikat dan menunjukkan seni mempertahankan diri silat ini mampu menarik perhatian pihak luar,” jelasnya.

Sementara itu, salah seorang pelakon utama, Namron menyatakan bahawa di antara faktor- faktor yang dia bersetuju untuk menjadi pelakon dalam filem itu adalah kerana plot yang menarik.

“Saya melihat Areel ini sebagai pengarah yang sangat berbakat dan mampu menghasilkan filem yang memenuhi selera penonton. Bekerja di bawah arahan Areel bagi saya, beliau seorang pengarah yang tenang, tetapi mempunyai semangat seorang prajurit Malaysia yang tidak pernah menyerah,” katanya.

Diterbitkan oleh Layar Pictures Sdn. Bhd. Walid akan ditayangkan di pawagam di seluruh Malaysia pada 14 September 2023.

Pada masa sama, Walid juga telah ditayangkan Amerika Syarikat iaitu Cine Village, New York (28 Julai – 3 Ogos 2023) serta Leammle Glendale, Los Angeles (11 Ogos – 17 Ogos 2023).


Related posts

“REVERSI” Dipilih Untuk Pertandingan Rasmi Di Festival Filem Far East Udine Ke-26 Pada Tahun 2024

Kakimuvee

Viu Perkenalkan Drama Adaptasi Novel Popular, Jendela Hati Lakonan MK K-Clique, Anna Jobling dan Hanna Aqeela

Kakimuvee

Siri Popular ‘Kau vs Aku’ kembali untuk Musim ke-2

Kakimuvee

Unifi TV Melancarkan Kandungannya Sendiri

Kakimuvee

Astro raih 16 anugerah di Asian Academy Creative Awards 2023

Kakimuvee

Sepahtu Reunion Live Tour Tawan Johor Bahru Oktober Ini

Kakimuvee