Filem animasi tempatan terus mengharumkan nama negara dipersada dunia. Terbaru, animasi Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal telah berjaya merangkul anugerah bagi kategori “Feature Film” di Festival Filem Animasi Antarabangsa Montreal 2019 (ANIMAZE) yang berlangsung pada 29 Ogos hingga 1 September yang lalu.
Tahniah! filem Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal telah dipilih sebagai pemenang di Montreal International Film Festival Animation 2019 (ANIMAZE) dalam kategori "Feature Film" pic.twitter.com/hULqsStSJt
— Les' Copaque (@lescopaque) September 10, 2019
Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal mengisahkan tentang Upin, Ipin serta rakan-rakan mereka yang perlu mencari jalan kembali ke Kampung Durian Runtuh selepas keris mistik yang mereka jumpai dalam bilik stor Tok Dalang membuka portal dan membawa mereka terus ke tengah sebuah kerajaan. Bukan itu sahaja, mereka juga perlu membantu kerajaan itu kembali ke bekas kemuliaannya. Mereka berdepan segala cabaran sepanjang pengembaraan mereka dengan bantuan Mat Jenin, Belalang dan watak-watak lain dari cerita dongeng Malaysia.
Filem animasi ini diarahkan oleh Ahmad Razuri Roseli, Adam Amiruddin, Syed Nurfaiz dan Khalid Syed Ibrahim serta disuarakan oleh pelakon suara watak asal iaitu Asyiela Putri, Ahmad Mawardi, Mohd Amir Asyraf dan Ernie Zakri.
Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal yang ditayangkan pada 21 Mac yang lalu telah berjaya mengumpul sejumlah RM26 juta untuk pasaran Malaysia sahaja.