BeritaSlot Asia

Tonton Filem-Filem Korea Secara Percuma Di Festival Filem Korea 2019

Festival empat hari ini menawarkan tayangan filem-filem Korea secara percuma kepada audiens Malaysia

Views

Sekali lagi, Festival Filem Korea (KFF) akan menayangkan filem-filem tersohor dari republik tersebut mulai 21 hingga 24 November ini di pawagam GSC Mid Valley, Kuala Lumpur. 

Dianjurkan oleh Kedutaan Republik Korea, Festival kali ini bakal menyajikan kepelbagaian genre sinema Korea kepada penonton di Malaysia melalui lima filem yang dipilih secara teliti oleh kedutaan terbabit, susulan kepada maklum balas positif yang diterima sempena penganjuran KFF pada tahun lepas. 

Dengan sukacitanya kami memperkenalkan filem “Secretly Greatly (2013)” yang dihasilkan pada tahun 2013. Filem ini dibintangi Kim Soo-Hyun yang berlakon sebagai anggota pasukan khas elit Korea Utara. Padat dengan aksi, komedi dan drama, tidak hairanlah lakonan dan jalan cerita mantap ini telah berjaya menarik sekitar 7 juta penonton di Korea. 

Filem kedua berjudul “The Classified File (2015)” membawakan genre drama dan jenayah yang telah ditonton seramai 3 juta penonton di Korea. Ianya mengisahkan episod penyiasatan teliti kes kehilangan seorang kanak-kanak yang dijalankan oleh seorang detektif veteran daripada keluarga malang tersebut yang pastinya membuatkan anda tidak senang duduk.

Seterusnya, filem “Kundo: Age of the Rampant (2014)” ialah sebuah karya aksi sejarah yang berkisarkan peristiwa bersejarah masyarakat semasa zaman feudal Joseon yang dilanda bencana alam, kemerosotan hasil tuaian, kemiskinan, kebuluran dan kematian. Oleh kerana golongan kaya hanya mementingkan diri dan berterusan menindas rakyat miskin, KUNDO muncul sebagai pembela masyarakat marhaen yang memerangi golongan kaya yang kejam serta berusaha mengubah nasib masyarakat ke arah lebih baik. Filem ini telah menarik kira-kira 5 juta penonton dan anda boleh melihat keadaan Korea pada zaman tersebut.

Ini disusuli dengan filem komedi “Wonderful Nightmare (2015)” yang memperihalkan kasih sayang sebenar dalam keluarga. Filem ini mengajar kita nilai-nilai penting tentang kekeluargaan dalam zaman yang serba sibuk ini seperti yang dialami oleh seorang peguam wanita muda yang sombong telah bertukar menjadi seorang ibu kepada dua orang anak dan bagaimana dia mengimbangi kehidupannya yang sangat berbeza sebelum ini.

Akhir sekali, kami juga memasukkan salah sebuah filem animasi terkemuka Korea bertajuk “The Road Called Life (2014)”. Filem ini dihasil berdasarkan tiga cerita pendek rakyat Korea iaitu “When the Buckwheat Flowers Bloom”, “Spring Spring” dan “A Lucky Day”. Kisah-kisah ini amat popular dan menjadi antara karya sastera dalam kurikulum sekolah tinggi di Republik Korea kerana ianya menggambarkan semangat dan masyarakat Korea.

Semua tayangan filem adalah percuma dan terbuka kepada semua orang ramai mulai 21 hingga 24 November 2019 ini di pawagam GSC Mid Valley. Untuk menebus tiket percuma ini, tunjukkan keratan atau syot layar peranti mudah alih mana-mana gambar atau artikel mengenai Festival ini sama ada penerbitan atau kiriman dalam talian daripada platform media rasmi atau saluran digital GSC untuk DUA tiket percuma di kaunter tiket GSC Mid Valley. Penebusan ini bermula pada 20 November 2019 dan ke atas berdasarkan “siapa cepat, dia dapat” dan tertakluk kepada jumlah tiket yang disediakan. 

Untuk butiran penuh senarai filem dan jadual tayangan, sila kunjungi www.facebook.com/koremy.eng dan www.gsc.com.my

BACA:  Teaser Mulan Mendapat 175 Juta Tontonan Dalam Tempoh 24 Jam

Tinggalkan Balasan

shares