Filem terbaru Netflix, Red Notice dibarisi pelakon-pelakon bintang, diketuai Dwayne ‘The Rock’ Johnson, Gal Gadot serta Ryan Reynolds, dan kini peminat mungkin berpeluang untuk melihat seorang lagi bintang ternama dalam barisan pelakon filem aksi komedi itu.
Menurut laporan The Illuminerdi, pelakon Mission: Impossible, Tom Cruise dikhabarkan sedang dalam rundingan untuk muncul sebagai cameo dalam filem Red Notice. Walaupun penampilan Cruise hanyalah sebagai cameo, dipercayai peranannya mungkin dapat dikembangkan sekiranya terdapat perancangan sekuel.
Laman itu turut menyebut, sekiranya pihak produksi gagal mendapatkan Cruise, mereka mungkin akan mencari pelakon setaraf dengan bintang filem aksi itu.
Digambarkan sebagai filem aksi thriller, Red Notice menyaksikan Dwayne Johnson memainkan peranan sebagai Ejen Interpool yang ditugaskan untuk menangkap pencuri karya seni (lakonan Gal Gadot) yang paling dikehendaki didunia, manakala karakter Reynolds digambarkan sebagai penyamar terhebat dunia.
Diarah dan ditulis oleh Rawson Marshall Thurber (Skyscraper), filem terbaru Netflix ini dijangka menemui penonton tahun hadapan.