
Awal hari ini, dunia DCU dihangat lagi dengan gosip yang mengatakan Dwayne ‘The Rock’ Johnson menyahikuti akaun Instagram Black Adam dan Warner Bros. Discovery.
Tidak banyak info diketahui mengenai gosip tersebut, melainkan laporan yang mengatakan pelakon itu tidak lagi mengikuti kedua-dua akaun tersebut. Ada desas-desus yang mengatakan ia mungkin berkait dengan tindakan DC Studios yang tidak meneruskan peranan Henry Cavill sebagai Superman, dan masa depan Black Adam dalam dunia DCU.
Bagi menjelaskan kekeliruan tersebut, The Rock tampil di Twitter, memaklumkan bahawa dia tidak menyahikuti akaun Instagram Black Adam dan Warner Bros., malah mengakui dia tidak pernah mengikuti kedua-dua akaun tersebut.
100% not true
— Dwayne Johnson (@TheRock) December 17, 2022
Never followed either account on IG.
Penjelasan tersebut sekaligus menamatkan spekulasi yang mengatakan The Rock ‘merajuk’ dengan Warner Bros. mahupun DC kerana beberapa perubahan drastik yang dibuat studio itu.
Namun, ia masih belum menjamin masa depan Black Adam di DCU sama ada akan diteruskan dengan sekuel atau mengalami nasib yang sama seperti filem-filem lain.
Dengan prestasi box office Black Adam yang kurang memberangsangkan, status filem itu masih menjadi tanda tanya, lebih-lebih lagi CEO bersama James Gunn dan Peter Safran kini sedang giat menghapuskan era DCEU sebelum mereka dapat memulakan perjalanan baharu DC di layar perak.
Apa yang pasti, ramai peminat, khususnya peminat DCU, masih menanti apa keputusan kedua-dua CEO DC Studios terhadap filem Black Adam. Adakah akan diteruskan, atau dibatalkan.
Sementara menunggu keputusan mereka, peminat boleh menonton semula filem Black Adam yang baru memasuki platfrom penstriman HBO GO pada 16 Disember yang lalu.