Sejak pertama kali diperkenalkan dalam filem The Conjuring 2, saya meletakkan filem The Nun dalam senarai filem 2018 yang wajib saya tonton pada hari pertama tayangan.
Saya sebenarnya tidak meletakkan harapan yang tinggi terhadap filem ini disebabkan ia tidak diarahkan oleh pengarah asal Conjuring iaitu James Wan. Ini berdasarkan beberapa filem seram yang dimulakannya tapi diarahkan oleh pengarah lain seperti Annabelle, Annabelle: Creation dan dua filem terakhir francais Insidious.
The Nun diarahkan oleh pengarah baru Corin Hardy yang terkenal menerusi filemnya yang berjudul The Hallow.
Filem kelima dalam ‘universe’ Conjuring ini merupakan prekuel kepada filem dua filem awal Conjuring. Ia menceritakan tentang asal usul kehadiran entiti jahat Valak ke alam manusia. Berlatarbelakangkan zaman 50an, seorang paderi dari Vatican, Father Burke (Demián Bichir) dan Sister Irene (Taissa Farmiga) serta dibantu Maurice “Frenchie” Theriault (Jonas Bloquet) telah pergi ke istana lama bagi menyiasat kematian misteri para rahib yang mendiami tempat tersebut. Bagaimanapun, ketika bermalam di istana tersebut, mereka telah diganggu entiti jahat yang seterusnya merungkai kematian misteri yang berlaku ditempat tersebut.
Keseraman The Nun mungkin tidak sehebat dua filem awal Conjuring tetapi bagi saya ia masih memberikan sebuah filem seram yang menakutkan kepada penonton. Malah beberapa adegan ‘jumpscare’ turut menjadi mampu memberikan kejutan kepada penonton. Suasana yang sentiasa gelap serta musik latar yang begitu sayup turut membantu menaikkan mood seram filem ini. Penjalanan ceritanya agak singkat, ia seperti dilihat seperti mahu cepat dihabiskan sehinggakan gagal menguatkan ‘origin’ dan keseraman watak jahat utamanya iaitu Valak.
Apa yang menariknya tentang filem The Nun ialah hubungkaitnya filem ini dengan dua filem Conjuring awal. Dipermulaan filem ia menunjukkan beberapa babak dari filem The Conjuring 2 yang memberitahu penonton tentang kemunculan Valak menganggu Lorraine Warren (Vera Farmiga) manakala dibabak penamat filem The Nun turut mengaitkannya dengan filem The Conjuring. Ini membuatkan filem The Nun terbuka untuk dihasilkan sambungannya dan mengisi ruang kosong diantara The Conjuring dan The Nun.
Taissa Farmiga yang merupakan adik kepada kepada Vera Farmiga memberikan kualiti lakonan yang cukup memuaskan. Karakter Sister Irene yang dibawakan boleh dikatakan menjadi. Cuma saya merasa sedikit kecewa melihat karakter Farther Burke tidak begitu dikembangkan dalam filem ini. Saya terhibur dengan karakter Jonas Bloquet iaitu Franchie yang memberikan sedikit kelegaan kepada penonton dengan telatah humornya.
Secara keseluruhannya, The Nun mungkin tidak memberi kepuasan kepada penonton dengan ceritanya yang agak longgar dan singkat, namun ia mampu memberikan keseraman dan adegan jumpscare yang begitu jitu kepada penonton.
Rating Kakimuvee: 8/10