Review Drama Korea: The Beauty Inside (2018)

66
views

The Beauty Inside

Drama ini adalah adaptasi filem The Beauty Inside (2015). Plot penceritaanya agak sedikit berbeza. Dalam versi filem, watak lelaki yang selalu berubah menjadi orang lain sejak berusia 18 tahun setiap hari apabila bangun dari tidur. Manakala dalam drama, karakter utamanya ialah perempuan yang wajahnya akan berubah-ubah dalam tempoh sebulan sekali, bila-bila masa sahaja.

Mengisahkan Han Se Gye (Seo Hyun Jin), seorang pelakon popular yang sering menerima gosip palsu. Dalam industri hiburan, Se Gye terkenal sebagai pelakon yang selalu menghilangkan diri dan sering bertukar teman lelaki. Se Gye juga dikatakan mempunyai anak secara rahsia.

Namun semua perkara tersebut hanyalah khabar angin palsu. Gosip tersebut bermula dari kondisi aneh yang selalu dialaminya. Entah bagaimana, Han Se Gye berubah-ubah menjadi orang lain. Bukan hanya dari segi fizikal, dia juga mengalami perubahan dari segi bangsa, usia, jenis jantina, dan suara.

Han Se Gye kemudian bertemu dengan Seo Do Jae (Lee Min Ki), pengarah syarikat penerbangan terbesar di Korea Selatan. Meskipun kelihatan sempurna, namun Seo Do Jae juga memiliki penyakit yang pelik selepas terlibat dalam kemalangan, iaitu prosopagnosia, di mana tidak boleh mengenali wajah orang lain.

Drama ini hanya ‘meminjam’ tema yang sama dari filem, tetapi mungkin kerana ianya drama, garapan penceritaanya agak mendatar, permulaan drama ini agak menjanjikan kerana membuat penonton ingin tahu apakah yang akan berlaku di antara watak hero yang mengalami kondisi tidak boleh mengecam wajah dengan watak heroin yang mempunyai kondisi yang amat sukar diterima oleh akal, tetapi apabila konflik itu berlangsung ianya seakan selesai dengan mudah, plot utama penceritaanya seperti tidak berkembang dan tidak signifikan, seakan subplot pula yang memain peranan dalam menggerakkan penceritaan.

Mengharapkan yang akan ada alur cerita yang bersangkut paut yang berkaitan dan ada kejutan untuk penonton dalam 16 episod drama ini tetapi malangnya tiada. Aku lebih suka versi filem, dalam filem diceritakan kenapa watak utama mengalami kondisi istimewa itu, ianya keturunan dari ayahnya, tetapi dalam drama tiada diceritakan, ingatkan Han Se Gye pun mengalami kondisi itu dari ayahnya yang menghilang entah kemana tetapi tidak ada penjelasan yang memberi jawapan.

Aku juga lebih suka versi filem yang menunjukkan walaupun watak utama itu bertukar setiap hari (sampai kesudah tak tunjuk rupa sebenar) tetapi heroinnya tetap menyukainya tanpa kisah tentang perubahan fizikalnya dan tanpa mengetahui rupa sebenarnya, penerimaannya tetap tidak tergugat.

Dalam drama, watak utama (Han Se Gye) masih dapat melihat wajah sebenarnya, dan mengikut firasat aku sebab itu teman lelakinya (Seo Do Jae) tidak kisah dia berubah jadi apapun sebab dalam tempoh 3 hari wajahnya dan fizikalnya akan kembali asal (di hujung cerita dah 2 bulan dia tak berubah, masih kekal dengan dirinya yang sebenar). Jadi aku rasa kisah percintaan dalam versi filem lebih mengagumkan dan menarik.

Walau bagaimanapun drama ini masih dirasakan menarik untuk ditonton jika penonton menginginkan sesuatu yang ringan dan tidak terlalu berat. Keserasian pelakon utama dan para pelakon yang lain adalah faktor utama yang melekatkan tontonan. Ada bahagian yang menyedihkan di tengah-tengah drama tetapi dipaparkan singkat sahaja. Terdapat babak-babak yang agak meleret dan seperti ‘malas’ dibuat, dramatiknya dibuat melebih-lebih dan seperti disumbat untuk memenuhi ruang supaya dapat memanjangkan cerita sampai 16 episod.

Sama ada versi filem atau drama, pengajarannya tetap sama, mengajarkan mengenai cinta tanpa syarat yang seolah seperti menyindir bagaimana sebenarnya erti cinta. Cinta bukan berdasarkan kepada penampilan fizikal yang kelihatan di luaran melainkan apa yang ada dari dalaman diri sendiri. Melalui versi drama ditunjukkan ada hikmah kenapa Han Se Gye mengalami kondisi tersebut, supaya dapat membantu orang lain yang memerlukan.

Jumlah Episod: 16

Rating Kakimuvee: 7/10

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here