Seperti yang dijangka, filem sensasi Matt Reeves, The Batman berjaya meraih kutipan memberangsangkan pada minggu pembukaannya, baik di pasaran domestik AS dan juga pasaran antarabangsa.
Di pasaran domestik AS, The Batman berjaya mencipta kejutan dengan menjadi filem yang mendapat kutipan kedua tertinggi pada minggu pembukaan di era pandemik, hanya di belakang Spider-Man: No Way Home, dengan kutipan sebanyak AS$128.5 juta dolar.
Sementara di pasaran antarabangsa, filem yang diterajui Robert Pattinson itu telah mengutip AS$120 juta dolar pada minggu pertama tayangannya, menjadikan jumlah terkumpul sebanyak AS$248.5 juta dolar seluruh dunia.
Ini merupakan kutipan minggu pembukaan terbaik buat pengarah Matt Reeves, selepas berjaya memimpin filem tahun 2014, Dawn for the Planet of the Apes untuk mengutip AS$104.3 juta dolar seluruh dunia pada minggu pertama tayangan.
Bagi Warner Bros. pula, ini merupakan kutipan minggu pembukaan terbesar buat mereka selepas Joker (2019), yang berjaya meraih AS$247 juta dolar seluruh dunia.
The Batman diarahkan oleh Matt Reeves dari skrip yang ditulis olehnya bersama dengan Peter Craig. Filem adiwira terbaru DC itu akan menyaksikan Robert Pattinson menyarung mantel Dark Knight.
Turut menyertai barisan pelakon adalahZoe Kravitz sebagai Selina Klye / Catwoman, Paul Dano sebagai The Riddler, Andy Serkis sebagai Alfred Pennyworth, John Turturro sebagai Carmine Falcone dan bintang Westworld, Jeffrey Wright sebagai Commissioner Gordon dan Collin Farrell sebagai Oswald Cobblepot, aka The Penguin. Peter Sarsgaard dan Jayme Lawson turut membintangi filem ini, sebagai Gotham D.A. Gil Colson dan Bella Reál.