
Pelakon remaja yang terkenal dengan watak Buntat dalam drama bersiri “7 Hari Mencintaimu” akan ke layar perak menerusi filem sulungnya berjudul “Jibam” yang bakal ditayangkan pada September ini.
Buntat atau nama sebenarnya Muhammad Arif Abdullah merupakan seorang remaja yang menghidap disleksia, iaitu sejenis gangguan pembelajaran, tetapi dia mempunyai bakat besar dalam bidang lakonan.
“Sebenarnya filem “Jibam” merupakan pengalaman lakonan pertama saya. Drama “7 Hari Mencintaimu” pula merupakan pengalaman lakonan saya yang kedua. Memang sukar hendak membawakan watak Jibam terutamanya babak yang melibatkan saya didera dalam filem itu. Namun atas bantuan pengarah dan kru produksi saya berjaya melakonkannya,” – Arif Abdullah
Bercerita lanjut bagaimana dia boleh terlibat dengan filem ini, pelakon berusia 13 tahun itu berkata kartunis bernama Ujang dan pengarah telah menemui bapanya selepas mendapat tahu mengenai dirinya dan selepas berbincang dengan bapanya bersetuju dia telah berangkat ke Kuala Lumpur untuk kelas lakonan selama 10 hari dan penggambaran terus dilakukan.

Filem terbitan Spektra Selasih Sdn Bhd ini diarahkan oleh Che Mie dan filem Jibam diadaptasikan dari judul Novel yang sama hasil karya karturnis terkenal, Ujang.
Dalam pada itu, Arif memberitahu bahawa kehidupannya tidak berubah langsung selepas bergelar sebagai pelakon dan dia masih menjalani kehidupan biasa seperti remaja lain seusianya.
Malah dia juga mengakui kurang mendapat tawaran berlakon kerana kekangan masa berikutan masih bersekolah.
Sementara itu, Arif memberitahu selepas ini dia mahu mencuba pelbagai watak untuk menguji kemampuan lakonannya.
Sumber: Kosmo