Kakimuvee – Portal Informasi Perfileman
Slot Tempatan

TAYANGAN DRAMA ‘HATI YANG DIKHIANATI’ DISAMBUNG SEMULA MULAI 22 OKTOBER 2021


Siaran Media

Setelah lebih empat bulan direhatkan susulan perlaksanaan PKP 3.0, pihak Astro Prima kini dengan berbesar hati menyambung semula tayangan drama rantaian ‘Hati Yang Dikhianati’ atau ‘HYD’ yang bakal menemui penonton menerusi slot Tiara pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6.00 petang mulai petang ini. Naskhah adaptasi ‘Mis Tres Hermanas’ versi Malaysia ini juga boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel. Sebelum direhatkan pada awal Jun lalu, drama ‘HYD’ sempat ditayangkan sehingga episod yang ke-40.

Pengarah terkenal, Bade Hj. Azmi telah diberi kepercayaan untuk memikul tugas sebagai pengarah bagi menggantikan sutradara Riza Baharuddin sekaligus menyambung penggambaran drama ‘HYD’ yang tertangguh akibat PKP. Untuk makluman, penglibatan Riza selaku pengarah adalah bermula episod pertama sehingga episod ke-35. Manakala Bade pula mengambil alih untuk meneruskan penggambaran bagi episod ke-36 dan seterusnya.

Drama ‘HYD’ mengetengahkan format interaktif ‘open-ended’ yang memberikan kuasa kepada netizen untuk menentukan plot twist dan kesudahan drama tersebut. Jalan penceritaan dan pembinaan watak turut dipengaruhi oleh maklum balas audiens dan rekod jumlah tontonan dari semasa ke semasa. Jumlah keseluruhan episod untuk drama adaptasi ini juga turut bergantung kepada penerimaan penonton.

Mengulas lanjut mengenai tayangan drama ‘HYD’ yang kini disambung semula, Norzeha Mohd Salleh selaku Pengurus Saluran Astro Prima berkata, “Alhamdulillah, setelah sekian lama direhatkan akhirnya naskhah ini kembali bersiaran menerusi slot Tiara. Walaupun kita masih belum menang dalam melawan Covid-19, namun kelonggaran yang diberikan ke atas sektor kreatif khususnya memberi sinar kepada kami untuk terus membawakan pelbagai kandungan serba baharu yang pastinya ditunggu-tunggu.


Mengambil iktibar hampir dua tahun Covid-19 menular, kami selaku pembekal kandungan utama di Malaysia tidak mahu membuang masa kerana fokus penting yang menjadi keutamaan kami adalah untuk bergerak ke hadapan bagi  merancakkan kembali industri seni hiburan tanah air menerusi penerbitan program-program menarik yang berkualiti. 

Selain episod terkini drama rantaian ‘HYD’, pelbagai lagi kandungan hebat bakal menghiasi saluran Astro Prima tidak lama lagi. Semuanya sudahpun disusun rapi, hanya menanti giliran untuk diumumkan secara rasmi. Semoga sajian yang dipersembahkan ini dapat menggembirakan hati para penonton yang setia menyokong kami selama ini.” 

Berkongsi sedikit pengalaman dan cabaran yang perlu dihadapi selaku Pengarah Drama ‘HYD’, Bade Hj. Azmi berkata, “Saya amat berbesar hati kerana  diberikan kepercayaan dan tanggungjawab untuk menyiapkan naskhah ikonik ‘Mis Tres Hermanas’ yang kini diadaptasi untuk versi tempatan.  

Apabila sesebuah naskhah dari negara luar yang berjaya mencipta fenomena dibuat semula, peminat pastinya akan membuat perbandingan dengan karya asal kerana pendekatan di sana lebih ‘daring’ dan seksi. Cabarannya di sini ialah untuk menyuntik elemen budaya tempatan agar sesuai dengan sensitiviti dan adab resam masyarakat di Malaysia yang agak terbatas.

Daripada segi pematuhan SOP pula tidak banyak perbezaan yang ketara kerana pihak produksi sudahpun bersiap sedia dengan perancangan yang rapi dan tersusun berdasarkan pengalaman mengharungi pelbagai fasa PKP akibat Covid-19 sepanjang hampir dua tahun.

Saya juga perlu mengambil masa untuk mendekati barisan pelakon dan mengenali karekter masing-masing untuk membina ‘chemistry’. Input daripada pengarah sebelum ini juga amat membantu. Generasi pelakon muda sekarang tidak seperti generasi dahulu. Pelakon sekarang lebih ‘playful’, berani, berilmu dan menerima lebih banyak ‘exposure’ berbanding dahulu. Sifat pemalu di depan kamera juga dapat dikawal dengan baik serta tidak ‘reserved’. Jadi, ia memudahkan lagi kerja di set penggambaran.

Antara barisan pelakon yang membintangi drama bersiri ini termasuklah Isyariana, Amar Baharin, Mona Allen, Zamarul Hisham, Che Puan Syamim Farid, Afifah Nasir, Arena Wan, Shah Iskandar, Mia Nasir, Fazlina Ahmad Daud, Sahronizam Noor serta ramai lagi. Selain itu, pelakon popular Fendy Bakry juga turut dibawa masuk untuk menyertai barisan pelakon sedia ada bermula episod ke-41 dan seterusnya.

Drama ‘HYD’ berkisarkan kisah Iskandar, seorang abang yang bertanggungjawab dan sanggup mengorbankan pelajaran dan cita-citanya demi membesarkan adik-adiknya iaitu Syaz, Lisa dan Baby. Walaupun sukar, Iskandar gigih bekerja bersama isterinya, Maria di syarikat pembinaan kecilnya. Dugaan mula menimpa keluarga ini apabila Lisa bertembung dengan seorang arkitek muda bernama Elyas, dan cinta mula berputik. Tanpa pengetahuan Lisa, Maria pernah berselingkuh dengan Elyas. Maria kini nekad untuk menghalang hubungan Lisa dan Elyas.


Related posts

“REVERSI” Dipilih Untuk Pertandingan Rasmi Di Festival Filem Far East Udine Ke-26 Pada Tahun 2024

Kakimuvee

Viu Perkenalkan Drama Adaptasi Novel Popular, Jendela Hati Lakonan MK K-Clique, Anna Jobling dan Hanna Aqeela

Kakimuvee

Siri Popular ‘Kau vs Aku’ kembali untuk Musim ke-2

Kakimuvee

Unifi TV Melancarkan Kandungannya Sendiri

Kakimuvee

Astro raih 16 anugerah di Asian Academy Creative Awards 2023

Kakimuvee

Sepahtu Reunion Live Tour Tawan Johor Bahru Oktober Ini

Kakimuvee