
Filem seram Australia terbitan studios A24, Talk to Me, kini menjadi filem seram A24 paling laris sepanjang zaman.
Jumlah kutipan box office terkini filem itu telah menolak satu lagi filem seram A24 berbajet sederhana, Hereditary, yang turut mencipta kejutan box office dengan cara yang sama pada tahun 2018.
Hereditary berjaya mengutip AS$44 juta sepanjang tayangannya pada 5 tahun yang lalu, dengan kos pembikinan sekitar AS$10 juta. Talk to Me, yang bermodalkan separuh dari kos pembikinan Hereditary, iaitu AS$4.5 juta, telah mencatatkan kutipan box office sekitar AS$63.1 juta sepanjang 6 minggu tayangannya.
Talk to Me mengisahkan sekumpulan remaja menemui cara untuk memanggil roh dengan menggunakan tangan misteri yang telah diawet, mereka terpikat dengan keseronokan baru, sehingga salah seorang daripada mereka pergi terlalu jauh dan melepaskan kuasa ghaib yang menakutkan.
Ini merupakan debut pengarahan filem bagi Danny dan Michael Philippou a.k.a. RackaRacka, yang pertama kali mendapat perhatian ramai menerusi saluran YouTube mereka.
Filem ini dibintangi Sophia Wilde, Joe Bird, Alexandra Jensen, Otis Dhanji, Miranda Otto, Marcus Johnson, Alexandria Steffensen, Zoe Terakes, dan Chris Alosio.