Slot Tempatan

SYIF MALAM RAYA Akan Menemui Penonton di Astro First

Views

Syif Malam Raya menjadi filem terbaru yang mengambil keputusan untuk tidak menunggu tayangan di pawagam, sebaliknya terus ke kaca televisyen penonton menerusi saluran berbayar Astro First.

Menurut penerbit Dato' Norman Abdul Halim, rancangan mereka untuk menayangkan filem Syif Malam Raya di pawagam pada bulan Mei tidak dapat dilakukan berikutan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Walaupun pada awalnya filem ini dijadualkan unutk tayangan di pawagam, industri perfileman tempatan hars berdepan dengan keadaan realiti semasa dan ketidak tentuan tarikh mula pawagam untuk kembali beroperasi.

"Pihak kami amat bernasib baik kerana "Syif Malam Raya" dipilih untuk mula tayangan di Astro First beberapa hari sebelum Hari Raya. Saya juga ingin mengucapkan syabas kepada Astro yang bertindak begitu pantas dalam menyediakan ruang alternatif buat kami penggiat seni, sekaligus memainkan peranan penting dalam menyelamatkan industri perfileman tempatan," ujarnya.

Dalam pada itu, Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara iaitu Raja Jastina Raja Arshad pula berkata susulan lanjutan PKPB, pihak Astro Shaw terus memainkan peranannya dalam mengutamakan penonton Astro dengan menyajikan kandungan-kandungan segar untuk tontonan sekeluarga berikutan masyarakat tidak dapat pulang ke kampung halaman untuk menyambut Hari Raya pada tahun ini.

Ini kali ketiga Astro Shaw menggunakan platform Astro First untuk menayangkan filem terbaru. Sebelum ini filem dari Indonesia, Nanti Kita Cerita Tentang Hari Ini telah menemui penonton pada 23 April dan telah mendapat sambutan positif.

Manakala, awal Mei yang lalu, filem Manap Karaoke arahan Mamat Khalid turut menemui penonton menerusi saluran Astro First dan menjadi hit dikalangan peminat.

Filem seram komedi arahan Profesor Madya Dato' Dr A. Razak Mohaideen ini berkisarkan mengenai dua sahabat iaitu Zaid dan Hisyam yang perlu bekerja pada malam raya untuk menghantar satu mayat ke Ipoh dan ketika dalam perjalanan mereka telah menumpangkan Mera dan Yoh yang mahu pulang ke kampung halaman mereka. Bagaimanapun kejadian aneh mula berlaku apabila mereka tiba di sebuah kampung yang dihantui pocong.

Filem terbitan Astro Shaw, Ray Theme dan edaran United Studios ini dibintangi oleh barisan pelakon popular seperti Atu, Sharif dan Syaiful dari kumpulan Zero, Ropie, Saiful Apek, Azlee Senario, Reen Rahim, Lia Natalia, Nadia Brian, Sheila Mambo dan ramai lagi

Syif Malam Raya akan mula menemui penonton pada 21 Mei ini.

Tinggalkan Balasan

shares
Enable Notifications    Ok No thanks