Slot Tempatan

Superbike The Movie Akan Menemui Penonton Di Astro First 23 Julai Ini.

Views

Filem mengenai permotoran antara genre yang agak diminati dan kerap mendapat sambutan penonton. Maka dengan itu, Storyfarm Post telah mengambil inisiatif dengan menghasilkan sebuah filem permotoran berjudul Superbike The Movie.

Pengarahnya, Wan Saiful Shahrizan Wan Nawi atau Shah berkata, filem arahannya itu sudah siap pada tahun 2015, namun kini ia baru berpeluang untuk ditayangkan kepada penonton.

“Filem ini sudah lima tahun dalam simpanan, ia mengambil masa yang lama kerana ada beberapa aspek teknikal yang perlu diperhalusi iaitu keadaan jerebu yang dialami semasa penggambaran.

“Jadi, pihak kami mengambil inisiatif untuk mengurangkan penampakan jerebu itu dengan menggunakan khidmat pakar dari India,” jelasnya.

Bercerita lebih lanjut tentang pembikinan filem berkenaan, ia berlangsung selama 22 hari di lokasi seperti Litar Sepang serta beberapa jalan berselekoh yang sememangnya menjadi kegemaran penunggang Superbike. Dalam pada itu, mengenai pemilihan pelakon pula, Shah menyatakan setiap pelakon itu dilihat berkemampuan membawakan watak yang dikehendaki.

“Setiap pelakon mempunyai karektor seperti Kamal Adli yang mampu membawakan watak komedi dan serius, manakala Shiqin Kamal pula seorang yang berperwatakan lasak, meskipun nampak lembut.

“Tidak ketinggalan kami turut menggunakan khidmat Hamid Gurkha sebagai salah seorang pelakon dan kami lihat beliau mempunyai tarikan tersendiri,” ujarnya.

Memandangkan Superbike The Movie merupakan filem pertama arahannya, Shah berharap ia mampu memberi input positif kepada penonton, terutama yang meminati sukan permotoran.

“Apa yang dipaparkan dalam filem ini adalah sebahagian daripada situasi sebenar yang dilalui oleh sesebuah kumpulan permotoran,” ujarnya.

Dalam pada itu, Shiqin Kamal selaku salah satu teraju utama filem ini menyatakan watak yang dibawakannya agak berbeza dengan filem lakonannya sebelum ini. Ujarnya, dia belum pernah lagi memegang watak seorang gadis yang lasak dan perlu berambut pendek untuk menjayakan watak yang dibawakannya.

“Sebelum ini saya memang tidak pernah bawa motor, apatah lagi bawa motor berkuasa tinggi seperti Superbike.

“Jadi, apabila diberi peluang untuk membintangi filem ini, saya rasa sukar untuk tolak dan jalan ceritanya juga sangat menarik,” ujar Shiqin yang membawakan watak sebagai Ilya.

Malah, pelakon itu juga menyatakan cabaran tersendiri yang terpaksa dilalui apabila perlu memakai racing suit.

“Bayangkan ketika penggambaran saya perlu sentiasa memakai racing suit memandangkan 80 peratus babak memerlukan saya memakainya. Memang badan berpeluh dan melekit, namun saya anggap ia satu cabaran tersendiri dan sangat seronok terbabit dalam filem ini,” ujarnya.

Biarpun ia sebuah filem komedi, Shiqin berharap supaya penonton melihat mesej yang cuba disampaikan terutama dari sudut positif. Filem Superbike The Movie akan ditayangkan di saluran Astro First bermula pada 23 Julai ini.

Tinggalkan Balasan

shares