Baru-baru ada status kelakar yang dibuat oleh seorang “kanak-kanak” hipster yang mengejek orang-orang tua bangka menonton filem terbaru Star Wars: The Force Awakens. Mungkin “kanak-kanak” tersebut tidak tahu bahawa Star Wars adalah filem kegemaran buat mereka yang lahir pada era 80-an.
Malah, apabila berita mengenai sekuel terbaru filem ini akan diterbitkan, orang-orang tua bangka inilah yang paling tidak sabar untuk menontonnya dan semenjak ditayangkan pada 17 Disember yang lalu, filem epic ini telah mendapat kutipan tiket melebihi $2 billion diseluruh dunia. Nampak tak berapa ramai orang tua bangka yang tak sabar menonton filem ini?
Sebelum tayangan filem arahan J.J Abrams ini, banyak khabar angin dan spoiler-spoiler yang keluar dari laman-laman hiburan dan blog tentang perjalanan filem ini. Namun, hampir kesemuanya tidak tepat, malah kami pernah mengeluarkan artikel mengenai siapakan Kylo Ren, dan segala teori yang kami berikan terbukti gagal sama sekali.
BACA: 5 SEBAB KYLO REN ADALAH LUKE SKYWALKER
Sebenarnya bagi kami, filem ini kurang kick berbanding filem-filem terawal Star Wars arahan George Lucas. Malah kami ada sedikit kecewa kerana penampilan Luke Skywalker dalam filem ini sangat singkat. Mungkin ini berdasarkan kenyataan pengarah J.J Abrams yang memberitahu bahawa filem ini bukan dibuat untuk satu watak sahaja.
Jalan cerita The Force Awakens pula boleh dikatakan hampir sama dengan filem episode terakhir Star Wars: Return of The Jedi cuma yang membezakannya, watak utama antogonis tidak mati. Filem ini mengisahkan kemunculan semula pahlawan Jedi dan misi mencari Luke Skywalker, begitu juga filem Return of The Jedi yang mengisahkan kemunculan kembali Jedi (Luke Skywalker) yang datang menentang angkatan Emperor dan Darth Vader. Siapa peminat kipas-susah-mati filem ini pasti perasan persamaan jalan cerita kedua-dua filem ini.
Spoiler
Antara kejutan yang kami tidak jangka dalam filem ini ialah watak Kylo Ren yang sebenarnya merupakan anak kepada Princess Leia dan Han Solo. Begitu juga watak Finn, kami jangkakan dia adalah “The next Jedi”, jangkaan kami meleset kerana Rey yang sebenarnya mempunyai kuasa Jedi bukan Finn. Kiranya Finn ini adalah watak sidekick sahaja. Dan kejutan yang kami tidak boleh terima, watak Han Solo ditamat dalam keadaan cukup tragis, dibunuh oleh anaknya sendiri.
Cuma persoalan yang ditinggalkan oleh pengarah J.J Abrams, siapakah ibu bapa Rey dan kenapa dia mempunyai kuasa Jedi? dalam kepala otak kami, terbayang mungkin Luke Skywalker adalah ayah kepada Rey. Jadi teori terbaru ini kami terpaksa mengenepikan kebarangkalian Luke Skywalker telah menyertai kuasa jahat memandangkan kami telah tahu mengenai asal usul Kylo Ren.
Walaupun pada mulanya perjalanan cerita sedikit perlahan dan storyline yang hampir sama dengan filem terdahulu, namun kejutan demi kejutan yang muncul telah berjaya menutup kelemahan filem ini. Plot juga tidak berserabut dan senang difahami. Cuma watak Rey yang tiba – tiba menjadi sekuat Kylo Ren seolah-olah menunjukan pengarah filem terlampau terburu-buru untuk menunjukan kuasa Rey. Itu dalam keadaan Rey baru mengentahu yang dia mempunyai kuasa Jedi, bagaimana jika dia telah dilatih? mungkin lagi kuat dari Kylo Ren.
Bunyi & kualiti filem
Dari segi bunyi dan kualiti CGI tidak mengecewakan. masih mengekalkan banyak element – element penting dalam filem Star Wars terutamanya, bunyi tembakan, lagu latar apabila kelihatan kapal angkasa penjahat, dan lain-lain lagi.
Secara keseluruhan filem ini sangat terbaik dan menarik untuk ditonton oleh mereka-mereka yang baru berjinak-jinak dengan filem-filem Star Wars. Bagi kipas-susah-mati seperti kami ini, ini adalah filem yang paling dinanti – nantikan oleh kami setelah menunggu lebih 30 tahun untuk menonton sambungan dari Episode ke-6 (Return of The Jedi). Walaupun kurang sedikit menarik berbanding filem arahan George Lucas, tetapi sekurang-kurangnya kami dapat melihat kembali R2D2, C-3PO, Chewbacca, Han Solo, Princess Leia dan Luke Skywalker beraksi kembali menentang penjahat. Tak sabar untuk menonton sambungan sekuel ini nanti.
Star Wars Episode 8 akan ditayangkan pada 2017.