
Nampaknya Jamie Foxx kembali membintangi filem Spider-Man.
Menurut laporan The Hollywood Reporter, Sony kini sedang dalam perbincangan terakhir untuk membawa kembali pelakon Jamie Foxx sebagai villain ikonik Spider-Man, Electro dalam filem ketiga Spider-Man lakonan Tom Holland.
Pemilihan semula Foxx sebagai Electro serta kemunculan J.K. Simmons sebagai J. Jonah Jameson dalam filem Spider-Man: Far From Home menguatkan lagi jangkaan mengenai ‘crossover’ diantara Spider-Man MCU dan Venom dari ‘Sony Universe of Marvel Characters’.
Foxx sebelum ini telah muncul dalam filem The Amazing Spider-Man 2 yang dipimpin oleh Marc Webb dan dibintangi Andrew Garfield sebagai Peter Parker / Spider-Man. Tetapi setelah ia menunjukkan prestasi yang kurang baik di pentas box office dengan kutipan sekitar $ 708.9 juta dengan anggaran kos sebanyak $200 juta serta mendapat ulasan yang pelbagai dari pengkritik dan peminat, Sony membuat keputusan untuk membatalkan perancangan masa depan francais termasuklah filem ketiga Spider-Man dan spin-off Sinister Six dan Venom.
Filem ketiga Spider-Man lakonan Tom Holland ini dijangka memulakan produksi pada Februari 2021 dan akan menemui penonton pada 17 Disember 2021.