
Khabar angin yang agak menarik dari dunia sinematik Marvel Sony, tetapi ini hanyalah sekadar ‘rumors’ yang diambil dari beberapa sumber.
Menurut laporan Comicbookmovie, dua nama besar Hollywood dikatakan sedang diintai Sony Pictures untuk membawa watak penting dalam filem-filem buku komik terbaru mereka.
Dalam laporan tersebut, laman Giant Freakin Robot dan pengguna Reddit @MyTimeToShineH mendakwa bahawa bintang The Queen’s Gambit Anya Taylor-Joy disenarai pendek oleh Sony untuk memainkan watak Felicia Hardy/Black Cat dalam Spider-Man Universe. Bagaimanapun dakwaan mereka masih boleh dianggap khabar angin walaupun Sony kini sedang membangunkan filem solo Black Cat.
Setakat ini, tidak banyak butiran mengenai filem Black Cat baik dari segi pelakon dan plot. Namun, tidak dinafikan Taylor-Joy adalah pilihan yang sangat tepat untuk membawa watak antiheroin itu ke layar perak.
Satu lagi khabar yang sangat menarik adalah kaitan Emma Stone dengan watak live-action Spider-Gwen. Selepas kejayaan Spider-Man: No Way Home, Sony dikatakan mahu membawa kembali Emma Stone ke ‘Spider-Man Universe’ dengan membawa peranan Spider-Gwen. Pendedahan tersebut dibuat oleh pengguna Twitter @EdwinSRP, yang sebelum ini telah mendedahkan banyak butiran mengenai No Way Home.
Sony wants Emma Stone for a Spider-Gwen project.
— Edwin (@EdwinSRP) December 26, 2021
Merry Christmas everyone!
Kedua-dua khabar angin mungkin kelihatan sangat menjanjikan, terutamanya kaitan Emma dengan watak Spider-Gwen, tetapi… seperti biasa, apa yang disampaikan mereka haruslah tidak diambil serius kerana ianya sekadar khabar angin.
Apapun kita nantikan perkembangan ‘Spider-Man Universe’ dari Sony Pictures, dan diharapkan mereka memberikan khabar gembira kepada peminat-peminat filem buku komik, khususnya peminat Spider-Man.