Kakimuvee – Portal Informasi Perfileman
Slot Tempatan

SIRI ANIMASI EJEN ALI KINI DI PLATFORM TENCENT VIDEO DI CHINA

SIARAN MEDIA

Primeworks Studios dan WAU Animation hari ini mengumumkan satu lagi kejayaan apabila menjalinkan kerjasama strategik dengan platform penstriman video dalam talian terbesar China; Tencent Video, di dalam perjanjian perkongsian kandungan bersama CAWRO, sebuah syarikat kandungan dan jenama kanak-kanak terkemuka dan diiktiraf di China sebagai pengedar rasmi program antarabangsa dengan persetujuan membawa masuk siri animasi  EJEN ALI untuk tayangan pasaran di China.

Ini merupakah langkah pertama EJEN ALI menembusi pasaran hiburan di China, dan seperti diketahui permintaan untuk kandungan video dalam talian di platform OTT di China berkembang sangat pesat ketika ini dan menjadi platform pilihan utama bagi pengiklan-pengiklan, dan trend ini dijangka akan berkembang dengan stabil dalam tempoh lima tahun akan datang.  Ini terbukti apabila siri EJEN ALI muncul sebagai salah satu daripada tiga program luar negara yang meraih kedudukkan rating penonton tertinggi di platform ini dalam tempoh empat hari tayangan di Tencent Video.

Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios dan Rangkaian Televisyen Media Prima, Dato’ Khairul Anwar Salleh, berkata, “Berikutan sambutan positif penonton terhadap filem EJEN ALI THE MOVIE tahun lalu, kami merasa ini adalah masa yang tepat bagi mengorak kerjasama dengan CAWRO dalam strategi untuk mengembangkan jenama EJEN ALI ke peringkat antarabangsa. Sudah sampai masa untuk animasi terbitan anak Malaysia seperti yang dihasilkan oleh rakan kreatif kami WAU Animation untuk bergerak lebih jauh, mendapat lebih banyak peluang dan perhatian antarabangsa.  Ini selaras dengan komitmen kami untuk membawa hanya kandungan terbaik Malaysia ke peringkat dunia dan secara tidak langsung memperkenalkan perniagaan pelesenan dan  jenama di rantau ini “

Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation, Usamah Zaid Yasin, menambah, “Ia semestinya sesuatu yang menggembirakan apabila mendapat tahu EJEN ALI akan ke China dan secara tidak langsung kami dapat mengembangkan sasaran penonton baru di peringkat antarabangsa.  Kami berharap siri EJEN ALI dapat diterima dengan baik oleh pengguna Tencent Video di China. Tentu sekali impian kami adalah untuk membawa EJEN ALI THE MOVIE ke layar filem di sana, namun memandangkan keadaan sekarang  ketika negara dan industri hiburan bergerak ke tahap pemulihan dari pandemik COVID -19, harapan kami agar impian ini akan menjadi kenyataan suatu hari nanti “

EJEN ALI mengisahkan mengenai seorang budak lelaki bernama Ali yang secara tidak sengaja terlibat dengan alat perisik, IRIS, milik agensi pengintipan, MATA. Akibat mengetahui terlalu banyak akan rahsia MATA, Ali direkrut sebagai ejen rahsia. Siri animasi EJEN ALI  mula disiarkan di TV3 pada tahun 2016 dan sepanjang siarannya ke udara, siri ini juga turut disiarkan di lebih 50 negara di Asia Tenggara, Timur Tengah, Afrika Utara, benua India dan Amerika Utara.  Populariti siri EJEN ALI ini juga telah menyakinkan pihak produksi menghasilkan tiga permainan bagi alatan mudah alih yang yang telah meraih lebih dari 7,000,000 juta muat turun sehingga kini menerusi aplikasi di Apple App Store dan Google Play Store. Kejayaan siri ini seterusnya direalisasikan oleh kutipan box-office melalui filem EJEN ALI THE MOVIE yang dilancarkan pada Disember 2019, telah meraih kutipan pecah panggung sebanyak USD8 juta di layar perak dan platform on-demand di Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia, menjadikannya filem animasi terlaris di Malaysia.

Siri EJEN ALI  mula bersiaran di Tencent Video China bermula dari 1 Disember 2020  dan dialih bahasa kepada Bahasa Mandarin dalam usaha menarik minat penonton di China khususnya kanak-kanak.

Untuk maklumat terkini mengenai EJEN ALI, sila layari platform dibawah:

  • YouTube : www.youtube.com/ejenali
  • Facebook : www.facebook.com/ejenali
  • Instagram : www.instagram.com/ejen_ali
  • Twitter : www.twitter.com/ejen_ali

Related posts

Kerana Barkoba “18 Puasa Di Kampong Pisang” Kutip RM1 Juta Dalam Masa 3 Hari

Kakimuvee

TRAILER 18 Puasa Di Kampong Pisang: Barkoba Ingin Kongsi Rezeki Bersama Masyarakat

Kakimuvee

NETIZEN TENTUKAN PLOT TWIST ‘MIS TRES HERMANAS’ MALAYSIA

Zulaikha

Bell Ngasri & Rakan-Rakan ‘Kantoi’ Puasa Dalam Teaser “18 Puasa Di Kampong Pisang”

Kakimuvee

SELEBRITI POPULAR KONGSI HOBI & KOLEKSI KENDERAAN PERIBADI DALAM PROGRAM AUTOMOTIF ‘RODA PANAS’ DI SALURAN NAURA

Isqandar

iQiyi Bergabung Tenaga Bersama FINAS Dalam Kempen Anti Cetak Rompak #JanganTontonHaram

Zulaikha