
Sejak diumumkan semasa perbentangan Marvel Studios di San Diego Comic Con yang lalu, tidak banyak berita diketahui mengenai filem akan datang, Avengers: The Kang Dynasty.
Walau bagaimanapun, dalam temu bual baru-baru ini, bintang MCU Simu Liu telah memberikan beberapa petunjuk tentang perkara yang boleh diharapkan oleh peminat dalam filem itu.
Bercakap kepada ComicBook, bintang Shang-Chi dan Legend of the Ten Rings Simu Liu ditanya tentang pengarah Destin Daniel Cretton, yang bukan sahaja mengarahkan Shang-Chi, tetapi juga sedang mengusahakan sekuel filem itu dan turut disahkan menjadi pengarah untuk The Kang Dynasty.
Liu memuji rakannya itu kerana berjaya terpilih sebagai pengarah The Kang Dynasty, dan kemudiannya mengusik tentang potensi penampilan wataknya, Shang-Chi, dalam filem ‘crossover’ Avengers yang akan datang.
“Saya sangat menantikan tentang apa yang akan dia lakukan dalam filem berskala besar, seperti ‘The Avengers’ nanti,” ujarnya kepada Comicbook sambil memuji visi dan pengarahan Destin.
Dia kemudiannya menyambung, “Saya rasa dia faham (tentang pembikinan filem) dan saya rasa dia sangat layak untuk menerimanya. Saya sangat teruja untuk bekerja bersamanya semula.”
Apabila ditanya sama ada dia mengesahkan penglibatannya dalam filem The Kang Dynasty, Liu tidak memberi jawapan yang diharapkan, tetapi berkata bahawa dia “rasa” yang dia terlibat dalam filem itu. “Saya rasa begitu…saya harap begitu. Jangan percaya kata-kata saya.”
Avengers: The Kang Dynasty akan diarahkan oleh Destin Daniel Cretton, yang juga kini bekerja dengan Marvel Studios dalam pembikinan siri aksi langsung Wonder Man.
Filem terbaru Avengers itu dijadualkan tayangan pada 2 Mei 2025, diikuti filem seterusnya, Avengers: Secret Wars pada 1 Mei 2026.