Sicario: Day Of The Soldado Review

785
views

Tanpa pengarah Denis Villeneuve, Emily Blunt dan sinematografer Roger Deakins, saya sedikit tertanya-tanya, mampukah filem Sicario: Day of the Soldado yang diarahkan oleh Stefano Sollima mengulangi kehebatan filem pertama Sicario yang diterbitkan pada tahun 2015.

Filem pertama Sicario bagi saya adalah antara filem ‘crime thriller’ terbaik pernah saya tonton. Walaupun agak perlahan perjalanan filem tersebut, unsur-unsur suspen, thriller, kerja-kerja sinematografi, musik latar dan mutu lakonan para pelakonnya telah membuatkan saya berkata Sicario (2015) adalah sangat hebat.

Jadi apabila mereka mengumumkan sekuel tanpa individu penting yang telah menjayakan filem pertama, ia membuatkan saya sedikit bimbang sekiranya sekuel Sicario nanti akan terjerumus ke lembah kegagalan sepertimana yang sering berlaku pada filem-filem sekuel.

Filem kali menyaksikan ejen rahsia US, Matt Graver (Josh Brolin) kembali bergandingan dengan pembunuh upahan yang juga rakannya, Alejandro Gillick (Benicio del Toro) untuk melakukan satu operasi rahsia iaitu mewujudkan perang diantara kartel dadah. Berbeza dengan filem pertama, pasukan Matt Graver melakukan operasi mereka lebih dalam dari sempadan Amerika Syarikat – Mexico dan akan bertindak lebih ‘kotor’ dalam menjayakan misinya.

Plot utama filem ini agak menarik dimana Matt Graver dan pasukannya melakukan operasi untuk menculik anak ketua kartel dadah, Isabela Reyes (Isabea Moner). Tujuannya adalah untuk mewujudkan perang kartel supaya penyeludupan manusia dapat dihentikan kerana pihak AS mensyaki pengganas memasuki AS melalui sempadan AS-Mexico dengan bantuan kartel-kartel dadah. Plot utama filem sebenarnya telah mendedahkan sikap penguasa AS di dunia realiti dimana mereka terlampau gopoh dalam membalas dendam terhadap pengganas dan melakukan kerja-kerja ‘kotor’ demi menjayakan misi dan matlamat mereka.

Seperti filem pertama, penulisnya Taylor Sheridan turut meletakkan sub-plot dalam filem sekuel kali ini, bezanya plotnya lebih meluas yang akan bertembung dengan plot utama pada 3/4 perjalanan cerita nanti. Penonton mungkin tidak nampak kepentingan subplot ini terutamanya fokus yang diberikan kepada watak Miguel (Elijah Rodriguez) sebagai seorang remaja yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan manusia. Subplot ini sebenarnya membuka ruang kepada filem ketiga sepertimana yang ditunjukkan pada penghujung filem nanti.

Perjalanan filem ini juga sama seperti filem pertama, perlahan dan mendebarkan. saya suka dengan pendekatan pengarahnya Stefano Sollima yang mengekalkan unsur-unsur suspen dan thrill serta aksi yang singkat tapi padu sepertimana filem pertama. Walaupun tidak sehebat kerja-kerja yang dilakukan oleh Denis Villeneuve, sekurang-kurangnya Stefano masih mengekalkan ciri-ciri Sicario yang lebih mementingkan thrill dari menjaja aksi tembak-menembak dan letupan yang tidak memberi apa-apa makna.

Prestasi para pelakon filem ini tidak mengecewakan terutamanya Benecio del Toro. Karakternya telah dikembangkan dalam filem kali ini berbanding watak Josh Brolin. Penonton dapat melihat personaliti sebenar Alejandro terutamanya apabila dia bersama-sama Isabel. Josh Brolin juga masih mengekalkan kehebatannya dalam membawakan karakter Matt Graver seperti dia lakukan dalam filem pertama. Tidak dilupakan pelakon Isabela Moner yang berjaya membawakan anak ketua kartel dengan baik sekali.

Seperti filem pertama, Sicario: Day of the Soldado tidak kurang hebatnya. Filem kali ini masih mengekalkan ciri-ciri yang ada dari filem pertama, malah sinematografi dan bunyiannya juga masih lagi hebat. Penamat mungkin menyakitkan hati tetapi ia membuka lembaran kepada filem ketiga yang dapat rasakan lebih menarik selepas melihat apa yang berlaku diantara Alenjandro dan Matt Graver. Apapun Sicario: Day of the Soldado adalah sebuah sekuel yang tidak mengecewakan dan tidak jauh berbeza dengan filem pertamanya.

Rating Kakimuvee: 9/10

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here