Pelakon Sharifah Sakinah memberitahu selepas ini dia mahu mengelak dari mengambil tawaran berlakon yang memerlukannya menjayakan watak wanita ‘bimbo’ atau gedik.
Sharifah Sakinah atau nama sebenarnya Nurul Sakinah Syed Abu Bakar Al-Khaired berkata demikian selepas dia dilabel sebagai wanita ‘bimbo’ selepas membintangi drama “Girlfriend Aku Dari Neraka”.
“Jangan pangil saya ‘bimbo’. Saya memang marah sangat jika ada peminat yang melabelkan saya sedemikian.
“Fungsi saya dalam dunia hiburan ini bukan ‘bimbo’ semata-mata. Selepas ini saya tidak mahu lagi mengambil watak sebegitu,” ujarnya yang dipetik dari Kosmo!
Jelas Sakinah, dia berkelakuan ‘bimbo’ atau ‘gila-gila’ hanyalah menjayakan watak itu semata-mata selepas diarahkan oleh pengarah, Dira Abu Zahar.
Dalam perkembangan lain, pelakon “Pekak” ini memberitahu dia kini sedang sibuk di lokasi penggambaran drama terbaru berjudul “Suamiku Mat Piun”.
Menerusi drama tersebut, Sakinah akan bergandingan dengan Along Raja Lawak dan Mark Adam.
Bercerita lanjut mengenai drama itu, Sakinah berkata ia sebuah drama parodi terhadap trend drama adaptasi daripada novel cinta.
Sumber: Cinema.com.my