
Pelakon berbakat besar Sharifah Amani memberitahu dia sudah bersedia untuk mengarah filem sendiri kerana ia adalah impiannya, namun kekangan bajet.
“Kalau saya mahu arahkan filem, tentulah saya mahukan sebuah filem yang bukan tangkap muat. Saya akan pastikan naskhah itu berbaloi untuk di bawa ke layar perak.”
“Pada masa sama, saya suka konsep seperti sebuah filem Bollywood di mana dalam satu filem, kita dapat lihat mereka jelajah ke banyak tempat. Tapi konsep itu memerlukan bajet yang banyak,” katanya kepada Sinar Harian.
Berikutan itu, Sharifah berkata dia lebih selesa untuk mengarah filem pendek buat masa ini sekaligus dapat mengasah kemahirannya sebagai sutradara.
Sebelum ini, pemenang dua kali trofi Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ini juga pernah menjadi penolong pengarah untuk filem “Talentime” arahan Allahyarham Yasmin Ahmad dan juga penolong pengarah lagak ngeri untuk filem “Hikayat Merong Mahawangsa” arahan Yusry Abdul Halim.
Terbaru, pelakon berusia 30 tahun itu baru sahaja selesai mengarah muzik video “Suatu Pernah” nyanyian Fynn Jamal yang mana turut bersaing di Anugerah Industri Muzik 22 (AIM 22) untuk kategori Video Muzik Terbaik.
Dalam perkembangan lain pula, Sharifah kini sedang sibuk dengan pementasan teater “Nadira” yang berlangsung di Tokyo, Jepun.
Sumber: cinema.com.my