Kakimuvee – Portal Informasi Perfileman
BeritaTrivia

Selepas Berbulan Ditutup Akibat COVID-19, Ini Filem-Filem Yang Bakal Ditayangkan Dipawagam Julai Ini.


Setelah berbulan ditutup akibat pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan kerajaan, sektor pawagam bersedia untuk kembali beroperasi pada Julai ini dengan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Bagi kaki-kaki wayang, anda pastinya tidak sabar untuk kembali menonton filem dipawagam. Tetapi, ada ke filem-filem baru yang akan ditayangkan? jangan risau, kami kongsikan senarai filem-filem terbaru yang akan ditayangkan Julai ini.

1. Kaiji: The Final Game (7 Julai)

Kaiji bergelut untuk menyara kehidupannya, dan sering berfikir jika dia mempunyai wang mencukupi untuk membeli minuman keras. Dia berasa marah apabila mendapati harga minuman keras semakin meningkat.

Suatu hari, dia mendapat tahu bekas ketua kem buruh bawah tanahnya, Otsuki, telah dinaikkan pangkat sebagai Presiden syarikat Teiai yang berkuasa selepas memenangi pertandingan judi. Otsuki kemudiannya memperkenalkan Kaiji kepada “Babel no Tou”, sebuah permainan berisiko yang memberi peluang untuk menjadi kaya. Dia turut diperkenalkan kepada tiga permainan lain, “Saigo no Shinpan”, “Dream Jump” dan “Golden Janken”, yang mana semuanya mempunyai situasi hidup dan mati. Namun Kaiji nekad untuk bermain.

2. Digimon Adventure: Last Evolution Kizuna (1 Julai)

Berlatarkan tahun 2010, di mana Taichi kini merupakan pelajar kolej, sementara rakan-rakannya mempunyai jalan hidup tersendiri. 10 tahun sudah berlalu sejak mereka bertemu dan mengembara di Digital World. Kini kelibat Digimon dilihat semakin biasa di dunia sebenar dan kewujudan DigiDestined juga diiktiraf.


Namun pada ketika ini, seekor Digimon kuat bernama Eosmon muncul menimbulkan masalah, menyebabkan Menoa dan Imura meminta bantuan daripada Taichi dan rakan-rakannya. Ketika bertarung dengan Eosmon, Taichi menyedari ada sesuatu yang tidak kena dengan Agumon dan Digimon lain.

Mereka akhirnya diberitahu oleh Menoa bahawa seekor Digimon akan lenyap apabila DigiDestinednya meningkat dewasa. Taichi perlu membuat keputusan jika dia ingin teruskan bertarung, walaupun sedar dia bakal kehilangan pasangan Digimonnya

3. Low Season (1 Julai)

Lin, seorang gadis yang mempunyai kelebihan melihat makhluk halus, membuat keputusan untuk meluangkan masanya di sebuah resort yang terletak jauh dari bandar. Ini semua selepas dia berpisah dengan teman lelakinya.

Memandangkan ia bukan musim puncak, Lin berharap dia dapat menenangkan fikiran dan tidak diganggu sesiapa pun di sana. Namun tanggapannya salah apabila dia berdepan beberapa pengunjung yang aneh. Dia juga bertemu dan mula jatuh cinta dengan Put, seorang penulis skrip yang menulis cerita seram.

4. Salina (2 Julai)

Salina tinggal di sebuah banglo yang mempunyai kisah misteri. Kanak-kanak yang menetap di situ juga mula diganggu dengan kejadian-kejadian aneh. Situasi menjadi lebih menakutkan apabila berlakunya satu pembunuhan yang tidak dijangka.

5. The Bridge Curse (2 Julai)

Berdasarkan lagenda setempat mengenai jambatan berhantu di Universiti Taichung Tunghai, yang dikatakan dihantui roh seorang gadis yang mati bunuh diri di situ akibat patah hati.

Filem ini mengisahkan sekumpulan pelajar universiti, yang mendapati roh itu mungkin benar-benar wujud, ketika mereka membuat pengambaran sebuah rakaman video di jambatan berhantu itu.

6. 77 Heartwarmings (9 Julai)

Sebuah sekuel kepada filem “77 Heartbreaks” (2017). Adam dan Eva kini melangkah masuk ke alam perkahwinan. Namun mereka mula risau sama ada mereka akan menemui kebahagiaan di sebalik perkahwinan mereka.

7. Howling Village (9 Julai)

Kampung Inunaki terkenal dengan kisah-kisah seramnya tersendiri. Kanae merupakan seorang ahli psikologi yang mempunyai deria keenam, yang membolehkannya melihat dan berkomunikasi dengan makhluk halus. Tanpa menyedari bahaya yang menanti, abangnya Yuma bersama kekasih abangnya Akina mencabar diri untuk pergi ke kampung tersebut. Akina akhirnya membunuh diri kerana hilang kewarasan. Yuma kembali semula ke kampung itu bersama rakan-rakannya namun dia kemudiannya didapati hilang.

Kini semuanya bergantung kepada Kanae untuk menyiasat misteri dan sejarah di sebalik Kampung Inunaki.

8. My Hero Academia: Heroes Rising  (9 Julai)

Ketua League of Villains, Shigaraki Tomurra, merancang untuk memusnahkan semua golongan hero. Deku dan pelajar-pelajar kelas 1-A U.A. Academy Class dihantar ke sebuah pulau di selatan Jepun untuk melibatkan diri dalam projek melatih hero generasi baru seperti yang diberitahu oleh All Might.

Mereka perlu membantu penduduk pulau itu melakukan kerja harian mereka. Bagaimanapun, mereka diganggu oleh penjahat-penjahat diketuai Nine yang tiba-tiba muncul dan memusnahkan kemudahan di pulau itu. Kini Deku, Bakugo dan pelajar-pelajar lain perlu bersatu untuk melawan Nine dan menyelamatkan penduduk pulau itu.

9. Baba Yaga: Terror Of The Dark Forest (9 Julai)

Egor dan keluarganya baru berpindah ke sebuah pangsapuri yang terletak di pinggir bandar. Ibu bapanya kemudian mengupah seorang pengasuh untuk adik perempuannya yang baru lahir. Egor mendapati pengasuh itu berkelakuan aneh tetapi ibu bapanya tidak mempercayainya, tambahan lagi selepas mereka melihat keadaan yang normal menerusi kamera litar tertutup.

Suatu hari, pengasuh itu telah hilang bersama adik perempuannya, sementara ibu bapanya pula lupa bahawa mereka mempunyai anak perempuan. Dengan bantuan rakan-rakannya, Egor cuba menyiasat dan mendapat tahu pengasuh itu adalah iblis Slavic purba yang dikenali sebagai Baba Yaga.

10. Train To Busan 2: Peninsula (16 Julai)

Filem ini berlatarbelakangkan situasi selepas kejadian wabak virus zombi merebak di Korea Selatan, empat tahun setelah kejadian dalam “Train To Busan” (2016).

Ketika menjalankan satu operasi rahsia bersama kumpulannya, Jung-seok, seorang tentera yang terselamat daripada wabak virus zombi tersebut, terjumpa sekumpulan manusia yang terselamat. Kini nasib mereka bergantung antara satu sama lain untuk berjuang meneruskan hidup

11. Psiko – 4 Mantan (23 Julai)

Biarpun mempunyai latar belakang berbeza, satu tragedi telah menemukan Sara, Airin, Rachel dan Amara, iaitu berita kematian bekas kekasih mereka, Alex. Konflik semakin rumit apabila keempat-empat gadis itu menerima surat daripada Alex, yang menyatakan jika mereka menerima surat itu selepas kematiannya, maka salah seorang daripada mereka adalah pembunuh.

Terperangkap dalam ketakutan, kini mereka perlu menyiasat dan membongkar siapakah pembunuh sebenar Alex.


Related posts

Shin Masked Rider Akan Ditayangkan Di Pawagam Pada 6 Julai Ini

Kakimuvee

[VIDEO] GSC Menganjurkan Tayangan Istimewa Siri Anime Terbaru ‘Rurouni Kenshin’

Kakimuvee

Trailer & Sinopsis Filem Seram Indonesia ‘Tasbih Kosong’

Kakimuvee

Musim 6 “My Hero Academia” Dapat Tarikh Tayangan Perdana & Poster

Zulaikha

Disney Tunda Tarikh Tayangan “Thor: Love and Thunder” Di Malaysia

Kakimuvee

[TRAILER] Filem Komedi “Tiga Janda Melawan Dunia” Pasti Membuatkan Anda Gelak Berguling-Guling

Kakimuvee