
Berikutan pembatalan mengejut Batgirl, nampaknya lebih banyak projek DC berada dalam bahaya dan berpotensi untuk dibatalkan oleh Warner Bros. Discovery.
Menurut laporan dari Rolling Stone, filem Supergirl, yang kini sedang dalam pembangunan, berpotensi untuk dibatalkan oleh pihak syarikat.
Filem tersebut sedang menjalani penggambaran, dan dibintangi Sasha Calle, yang juga bakal muncul sebagai Supergirl dalam filem The Flash yang akan datang.
Cameo beliau dalam The Flash bertindak sebagai pengenalan pantas sebelum dia muncul dalam filem solonya sendiri.
Langkah itu berikutan pelbagai rombakan yang dibuat syarikat dan sebagai tindakan penstrukturan semula yang dibuat oleh CEO bahary David Zaslav untuk Warner Bros. Discovery.
Selain filem-filem DC, terdapat beberapa filem lain (seperti filem Scooby Doo, Scoob! Holiday Hunt) turut ditangguhkan, dibatalkan terus, atau diletakkan dalam penilaian oleh pihak syarikat.
Bagi DC Extended Universe yang jauh lebih besar, filem-filem utama, yang dijadualkan tayangan pada tahun-tahun mendatang, masih berada dalam landasan yang tepat untuk ditayangkan – setakat ini.
Ini termasuklah The Flash, yang menurut Rolling Stone, ia masih lagi kekal dengan tarik tayangan pada 2023, walaupun filem tersebut dilanda kontroversi yang melibatkan bintang utamanya, Ezra Miller sejak beberapa bulan lalu.
Hanya lima filem DC – Black Adam, Shazam! Fury of the Gods, Aquaman and the Lost Kingdom, The Flash, dan Blue Beetle — mempunyai tarikh tayangan konkrit setakat ini, namun masa depan dunia filem DC kini terletak pada tangan regim baharu Warner Bros. Discovery.